Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Yasin: Kerajaan tak wajar terus ‘menjenayahkan’ kanabis

Ketika diiring anggota keselamatan selepas berakhir prosiding kesnya di mahkamah, Yasin Sulaiman sempat menyampaikan pesanan buat orang ramai di luar tempat dia ditahan.

Kata penyanyi itu, kerajaan tidak wajar terus ‘menjenayahkan’ kanabis dan mengeluarkan bahan tersebut daripada senarai bahan larangan.

Langkah itu, katanya, sudah dilakukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Saya harap kerajaan Malaysia akan keluarkan kanabis daripada senarai narkotik sebagaimana yang dilakukan oleh WHO.

“Saya rasa tak wajar kita terus menjenayahkan kanabis untuk tujuan rawatan dan perubatan, ia (kanabis) bukan dadah semata-mata,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Ditanya bagaimana keadaannya kini, dengan ringkas Yasin menjawab dirinya sihat dan baik-baik saja.

“Saya sihat, alhamdulillah. Semuanya bagus, rawatan juga dah dapat.

“Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong terutama Syed Saddiq, Wardina Safiyyah, kumpulan Brothers, Nurul Izzah. Terima kasih semua,” katanya.

Belum terima laporan kimia

Pada 31 Mac lalu, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik berisi tanah yang diperolehi secara terus atau tidak langsung.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, hakim Jamaludin Mat menetapkan 22 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes penyanyi Mimpi Laila itu.

Ia dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memaklumkan pihak pendakwaan masih belum memperolehi laporan kimia.

Bagi pertuduhan mengedar kanabis majistret Zhafran Rahim Hamzah turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes tersebut.

Mengikut pertuduhan, Yasin - yang turut diingati dengan lagu Teman Sejati itu - didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat kira-kira 214 gram pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Untuk pertuduhan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati.

Jika tidak dihukum mati seseorang pesalah hendaklah disebat tidak kurang daripada 15 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mengedar dadah, tiada pengakuan direkodkan daripada Yasin kerana kes itu di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mahkamah menetapkan 22 Jun depan bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, peguam mewakili Yasin, Mohd Yusmadi Mohd Yusuff, berkata anak guamnya memaklumkan bahawa di Penjara Sungai Buloh, dia hanya mendapat rawatan biasa.

Justeru, pihaknya membuat permohonan agar Yasin diberikan rawatan pakar kerana penyakit yang dihidapi Yasin bukanlah penyakit biasa.

“Yasin memberitahu dia hanya mendapat rawatan biasa, susulan itu kami memohon rawatan pakar diberikan.

“Dalam permohonan tersebut kami merujuk kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Apa yang dihidapi oleh Yasin bukanlah penyakit biasa, jadi saya fikir sangat wajar perubatan yang sebaiknya diberikan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS