Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas 19 tahun hidup bersama, Ellie Suriati Omar mengakui jodohnya dengan Azri Iskandar hanya berlanjutan sehingga hari ini saja.

Namun, Ellie menegaskan, perceraian yang berlaku tidak sesekali mengganggu hubungannya untuk membesarkan anak-anak secara damai bersama bekas suami.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ellie menjelaskan, lafaz talak satu itu dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor di depan Hakim Muhamad Hisyam Zakaria pada jam 9.34 pagi tadi.

“Kami tak memohon hak penjagaan anak-anak kerana ia akan dilakukan secara bersama. Anak lelaki, Azrell akan tinggal bersama Azri, manakala yang perempuan, Nur Azreen akan menetap bersama saya.

“Tapi sekiranya saya perlu menjalani penggambaran ke luar negeri, Azri akan menjaga kedua-duanya. Ia semudah itu. 

“Malah anak-anak Azri (dengan bekas isteri pertama) juga rapat dengan saya, jadi memang tiada isu sekiranya mahu bertemu meluangkan masa,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Bagaimanapun, Ellie, 52, enggan menjelaskan secara mendalam punca terlerainya ikatan perkahwinan itu.

Namun mengakui, dia yang membuat permohonan perceraian pada 22 April lalu.

“Kami bercerai secara baik, tiada berdendam mahupun bermusuhan. Saya hargai perkahwinan yang dibina bersama bekas suami selama 19 tahun. Saya doakan yang terbaik buat Azri untuk masa depannya.

“Cuma, saya tak mahu rosakkan apa yang pernah dilalui sepanjang perkahwinan dengan membuka pekung di dada.

“Lagipun, umum tahu bagaimana saya dan Azri tidak gemar bercerita kisah rumah tangga kami. Biarlah kami saja yang tahu punca mengapa ia berakhir. Kami mahu kekalkan ia begitu,” tambahnya.

Ditanya soal kerja sekiranya ada produksi meminta mereka bekerjasama, Ellie menyatakan dia tidak menolak untuk ‘disatukan’ kembali atas tujuan profesional.

Katanya, dia rela berbuat demikian sekiranya tugas atau skrip yang ditawarkan berkualiti serta memuaskan hati.

“Sekiranya tiada orang lain lebih layak untuk mengarahkan dia dalam sesebuah produksi, saya rela melakukannya, tiada masalah.

“Dan sekiranya ada skrip yang memerlukan saya berlakon bersama Azri juga saya tak akan menolak sekiranya ia benar-benar bagus dan watak diberikan juga bersesuaian,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS