Kerajaan memberi jaminan akan menangani kebimbangan persatuan seni berhubung sesi sesi saringan perolehan (pitching) Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk siaran 2023 dengan memperkenalkan pelbagai langkah yang dirasakan wajar.
Ketua Pengarah Penyiaran, Che Roslan Che Daud, berkata antara kaedah yang dirasakan terbaik ketika ini ialah dengan memendekkan tempoh penilaian serta menambah barisan panel penilai.
“Sebelum ni ada 23 langkah bagi proses penilaian sebelum surat setuju terima (SST) dikeluarkan dan ia memakan masa antara tiga hingga enam bulan.
“Bagaimanapun, kami akan cuba singkatkan proses kepada 11 langkah saja sekarang. Selain tu, bilangan panel penilai juga akan ditambah.
“Mereka terdiri daripada pelbagai golongan termasuk pegawai kerajaan serta orang luar yang berpengalaman dalam bidang ni,” katanya.
Menurut Che Roslan, walaupun jumlah pembekal semakin bertambah sekali gus membuatkan tugas itu lebih mencabar, RTM yakin proses penilaian dapat berjalan lancar melalui kaedah terkini yang diperkenalkan.
“Sambutan untuk sesi kali ni sangat menggalakkan apabila ada lebih seribu pembekal menghadiri sesi taklimat.
“Cuba bayangkan jika setiap pembekal menghantar dua kertas cadangan projek. Ini bermaksud kita ada lebih 2,000 permohonan yang perlu dinilai.
“Itu hanya produk swasta baru, belum termasuk produk sambung siar. Kami di RTM sedaya upaya cuba membantu untuk mempermudahkan urusan pembekal,” ujarnya.
‘Jangan tahu kritik saja’
Che Roslan berkata demikian ketika ditemui pada sesi taklimat bersama pembekal bagi perolehan pembekalan program TV tempatan dan swasta baru serta sambung siar 2023 di Kuala Lumpur kelmarin.
Terdahulu, RTM membuka peluang kepada penerbit untuk mengemukakan Pelawaan Kertas Cadangan (RFP) untuk sesi pertama pada 20 April lalu. Ia adalah bagi pembekalan program TV syarikat swasta tempatan.
Sesi kedua pula membabitkan tawaran RFP kepada pembekalan program TV luar negara dan dan produk siap tempatan yang akan dibuka antara 1 Jun hingga 21 Jun akan datang.
Menurut Che Roslan, mereka sentiasa mengalu-alukan jika ada persatuan mahu mengemukakan sebarang cadangan bagi menambah baik sesi perolehan saringan tersebut pada masa depan.
“Jangan tahu mengkritik saja. Sebelum ni kami pernah mengadakan pertemuan dengan pihak persatuan seni dan meminta mereka kemukakan cadangan.
“Namun hingga hari ini kami tak terima langsung cadangan atau idea yang diharapkan,” katanya.
Che Roslan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dikeluarkan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli, yang menggesa RTM mengkaji kaedah untuk mempercepatkan sesi perolehan saringan baru-baru ini.
Menurut Jurey, tempoh dirasakan sudah semakin suntuk hingga memberi tekanan kepada pembekal.
Pada masa sama Che Roslan memberitahu, masalah kekurangan peruntukan turut mengakibatkan sesi saringan perolehan hanya boleh dibuat sekali saja untuk tahun ini.
Namun menurutnya, situasi itu mungkin boleh berubah sekiranya terdapat peruntukan baru diluluskan kerajaan.
“Biasanya sesi saringan perolehan dibuat awal tahun. Cuma tahun ni ia dilaksanakan pada April. Hal itu berlaku disebabkan kami mengalami masalah kekurangan bajet.
“Untuk rekod, pandemik menyebabkan projek banyak tertangguh, jadi pitching kali ni turut membabitkan pembekal dari tiga tahun sebelumnya. Ada juga syarikat yang minta lanjut tempoh.
“Saya sudah berbincang dengan kementerian berhubung isu ni. Misalnya jika ada lebihan peruntukan dari mana-mana, kami akan adakan sesi pitching kali kedua dan besar kemungkinan ia akan diadakan pada Julai,” katanya.