Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dituduh ‘memondan,’ Aliff Syukri ancam saman

Usahawan kontroversi Aliff Syukri bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu selepas dirinya dituduh ‘memondan’ dalam video klip lagu raya nyanyiannya, Kelepok Raya.

Aliff, melalui perkongsian dalam InstaStory meminta individu berkenaan yang merupakan seorang anggota kumpulan penyanyi popular serta komposer itu supaya membuat permohonan maaf secara bertulis dalam tempoh 24 jam selepas menulis kenyataan yang disifatkanmya melampau.

Katanya, dia akan meneruskan saman tersebut jika individu itu tidak memadam hantarannya sebelum ini.

“Sila padam hantaran anda yang melampau dalam masa 24 jam sebelum surat sama saya hantar kepada anda. Siapa makan cili dia terasa pedas.

“Kalian rasa siapa? Terang-terang tulis nama saya. Orang lain okey tapi ini mamat dah lebih-lebih. 

“Jangan ingat saya senyap, saya tak bertindak. Saya baru saja menang  saman orang RM500,000,” katanya dalam perkongsian Instagram.

Sebelum ini, individu itu tampil bersuara berhubung kontroversi yang melibatkan usahawan tersebut berikutan video lagu raya yang dikatakan bertentangan dengan budaya tempatan.

Dia menyifatkan Aliff menghasilkan video berkenaan bukan untuk tujuan publisiti mahupun wang namun kerana mahu ‘memondan’ dalam muzik video tersebut.

Penayangan video berkenaan melalui media sosial turut mendapat kecaman ramai pihak kerana ia memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut.

Aliff juga dipanggil bagi memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bagi membantu siasatan berhubung video muzik tersebut.

Dia kemudian memohon maaf atas keterlanjurannya dan enggan netizen mengaitkan perbuatannya itu dengan keluarganya. 

Aliff menerusi hantaran terbaru, tampil memberi penjelasan lagi mengenai isu tersebut melalui beberapa klip di Instastory.

“Sebenarnya saya tiada masalah dengan sesiapa pun sama ada artis atau orang biasa yang mengutuk mahupun menghina suara saya. 

“Suara itu adalah seni, ada orang suka dan tak suka. Tapi jika sudah melibatkan diri saya, yang saya tidak buat dan awak memfitnah. 

“Menyebut pula nama saya dan perkara tersebut boleh menjadi satu bukti di mahkamah di mana saya tak melakukan perkara tersebut. Tindakan boleh dilakukan.

“Saya juga sudah meminta orang itu padam tapi dia senyap, mungkin pihak peguam yang patut melakukan tindakan ini. Kita lihat saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS