Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Azira Shafinaz tak kisah De Fam dibandingkan dengan bakat baru

Pernah kembalikan legasi penyanyi wanita berkumpulan, anggota De Fam, Azira Shafinaz kekal positif walaupun kumpulan dianggotainya itu seringkali dibandingkan dengan bakat baru.

Azira yang juga pelakon itu berkata, kemunculan kumpulan seperti Dolla dan The Gadys misalnya perlu wujud bagi mewarnai muzik tempatan yang suatu ketika dulu pernah dipelopori dengan kumpulan wanita ikonik seperti Feminin, Elite dan Freshies.

“Bagi saya, walaupun De Fam sering dibanding-bandingkan, pelapis baru dianggap sesuatu bagus dan baik untuk perkembangan industri.

“Tiada yang salah sekiranya orang nak banding-bandingkan imej atau prestasi kami pun. Saya anggap kewujudan persaingan boleh memeriahkan industri muzik tanah air,” katanya.

Azira Shafinaz

Menurut Azira, 31, dia juga menyokong penuh kemunculan kumpulan wanita baru dan bersedia memberi tunjuk ajar selok-belok dalam industri sekiranya perlu.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa diadakan di Cili Kampung, Hartamas Walk, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk rekod, selain Azira, De Fam yang ditubuhkan pada 2015 itu turut dianggotai oleh Cik Manggis dan Sofia Liana.

De Fam meraih kejayaan komersial menerusi single sulung mereka, #Supergirls, sekaligus menaikkan nama De Fam sebagai antara kumpulan wanita yang berjaya di Malaysia.

Sementara itu, mengulas perjalanan karier De Fam - yang dispekulasi sudah berkubur - Azira berkata, kumpulan itu masih hidup dan bakal menerbitkan single baru yang dijangka akan diterbitkan selepas Aidilfitri ini.

“Memang kami sibuk dengan kerjaya solo masing-masing, De Fam ada, kami tak berpecah pun.

“Pada masa sama, De Fam tetap merancang untuk keluarkan single terbaru. Kami hanya menunggu waktu yang sesuai saja sebelum terbitkan.

“Single ni nanti seperti come back kami selepas kali terakhir keluarkan lagu Panas pada 2019,” katanya.

Tambah Azira, kumpulannya itu akan tampil berbeza dan lebih matang selepas ini.

“Sama ada dalam lagu, dan imej, De Fam akan tampilkan perbezaan dan lebih matang dari situ untuk peminat. Ia seiring dengan usia kami yang semakin meningkat.

“Tambahan pula Cik Manggis dah bertudung, jadi ya, kami memilih imej sesuai usia dan tak perlu selincah dulu. Yang penting showmanship kami masih sama tak akan berkurangan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS