Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit minta kerajaan kaji kaedah percepatkan sesi perolehan

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mengakui bimbang kebarangkalian pembekal mendapat manfaat sewajarnya tipis apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru membuka semula permohonan mengemukakan Pelawaan Kertas Cadangan (RFP) bagi membekalkan Program Televisyen (TV) Swasta Baru Tempatan untuk siaran syarikat itu tahun depan.

Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli, berkata sepatutnya RTM mengkaji kaedah untuk mempercepatkan sesi tersebut memandangkan masa yang kini dirasakan sudah semakin suntuk.

Biasanya, kata Jurey, ada dua sesi saringan perolehan (pitching) dijalankan setiap tahun. Bagaimanapun, katanya, kerajaan baru mengemukakan pelawaan kertas cadangan (RFP) pada 20 April lalu.

Penerbit diberikan masa sehingga 10 Mei ini untuk mengemukakan cadangan masing-masing bagi dipertimbangkan.

“Proses pitching mungkin akan mengambil masa yang panjang. Kalau perolehan swasta dibuka pada April, keputusan sama ada ia diterima atau ditolak mungkin diketahui tiga atau empat bulan dari sekarang.

“Katakan ada 1,000 syarikat, berapa lama masa diambil untuk RTM buat pitching? Misalkan keputusan diumum pada Sept, kemudian penggambaran dijalankan pada Okt, dan pada Nov kerajaan dah tutup pembayaran.

“Kami risau sekiranya ada sekali saja perolehan dibuka untuk pihak swasta kali ini.

"Kerajaan kena pastikan kaedah yang tepat supaya ia sesuai keadaan semasa,” katanya kepada Malaysiakini.

Mahu penerbit diberi keadilan

Menurut Jurey lagi, berdasarkan konsep penyataan keperluan (need statement) ditetapkan RTM tahun lalu, sebuah syarikat boleh menghantar sekurang-kurang lima kertas cadangan projek.

Bagaimanapun, peraturan itu diubah kepada dua saja untuk tahun ini.

“Kita boleh hantar kertas cadangan tu, tapi belum tentu diterima. Ini bermakna kebarangkalian untuk sesebuah syarikat penerbit mendapat tawaran sebagai pembekal semakin kecil,” katanya.

Terdahulu, RTM mengiklankan peluang kepada penerbit mengemukakan RFP untuk sesi pertama pada 20 April lalu. Ia adalah bagi pembekalan program TV syarikat swasta tempatan.

Sesi kedua pula membabitkan tawaran RFP kepada pembekalan program TV luar negara dan dan produk siap tempatan yang akan dibuka antara 1 Jun hingga 21 Jun akan datang.

Ia dilakukan ekoran keluh kesah kebanyakan penerbit yang bergantung kepada penjualan kandungan di RTM selepas stesen berkenaan mengumumkan mereka kehabisan peruntukan untuk mengadakan sesi saringan perolehan tahun ini.

Keadaan itu bermakna penerbit perlu menunggu Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan baru kepada RTM.

Bagi Jurey, kerajaan wajar memberi keadilan pada syarikat produksi yang sebelum ini sudah disenarai pendek bagi menjimatkan wang kerajaan.

“Kami mohon menteri (Annuar Musa) berpegang pada janji sebab memang tidak adil buat produksi yang telah disenarai pendek. Lagi pula, dalam sejarah, kita belum dengar lagi RTM tiada duit nak beli konten.

“Kami bukan tuntut benda yang tak wujud, kami minta menteri lakukan apa yang dia dah umumkan. Sebabnya kami dah keluar modal dan masa, dan dijanjikan bahawa akan diumumkan tahun ni.

“Kalau mereka buka sesi perolehan seperti baru-baru ini, bermaksud kami kena lalui proses sama dari mula macam tahun lalu. Sepatutnya tak perlu begini sebab penerbit-penerbit ni dah terbukti berkhidmat untuk RTM selama puluhan tahun,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS