Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Uyaina kesal cepat takjub lihat orang buat kerja amal

“Sanggup mengetepikan zaman muda demi berbakti kepada anak istimewa membuat saya terlalu mengagumi dia, tapi sekarang saya menyesal…” demikian luah Uyaina Arshad mengenai Siti Bainun.

Jelas pelakon dan pengacara itu, keterujaannya bertukar menjadi kekecewaan selepas dua tahun apabila wanita terbabit didakwa di mahkamah atas pertuduhan membabitkan kanak-kanak kurang upaya.

Kata Uyaina, Siti Bainun pernah menjadi tetamu undangan rancangan kendaliannya di TV3 iaitu Wanita Hari ini.

“Pada masa tu saya anggap Siti Bainun seorang wanita yang 'satu dalam sejuta'. Saya juga pernah bertanyakan pada diri sendiri: aku ni sebaya dengan dia, tapi apa bakti yang aku dah berikan kepada masyarakat?” katanya.

Bagi Uyaina - atau nama penuhnya Saidatul Naseha Uyaina - di sebalik kekhilafannya itu masih ada pengajaran besar yang boleh membawa manfaat pada masa akan datang.

Dengan pengalaman itu, katanya seseorang tidak boleh berasa taasub kepada orang lain hanya berdasarkan luaran kerana setiap individu memiliki kekurangan dan sisi negatif tersendiri.

Uyaina berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran program raya Astro serta majlis berbuka puasa yang berlangsung sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun Ahd Razali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Bella, kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun.

Harap dalang sebenar dihukum

Dia didakwa mengabaikan tanggungjawabnya dengan menyebabkan kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 Nov 2021, pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak tersebut. Kes berkenaan sedang dibicarakan dan prosiding di hadapan hakim Izralizam Sanusi bersambung 30 Mei ini.

Mengulas lanjut, sama seperti kebanyakan orang, Uyaina, 29, mengakui bahawa dia juga geram dengan nasib yang menimpa Bella.

Kata pelakon Lelaki Kiriman Tuhan itu, dia amat bersimpati dengan kanak-kanak malang berkenaan yang dianggap lambat mendapat pembelaan sewajarnya.

“Selepas lihat apa terjadi pada Bella, saya rasa sangat kasihan. Saya juga kini sedang hamil. Kalau orang buat begitu pada anak kita macam mana.

“Jadi, apa yang netizen rasa tu, begitu jugalah saya rasa. Kita semua rasa geram dengan isu yang berlaku. Sampai hati Bella diperlakukan begitu,” katanya.

Bagaimanapun, isteri kepada penyanyi Raja Syahiran itu berkata, dia enggan mengulas lebih lanjut berhubung perkara tersebut kerana bimbang ia mengganggu proses perbicaraan yang masih berlangsung.

Dia juga berharap agar kes berkenaan dapat diselesaikan secepat mungkin dan berharap pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.

“Saya harap yang salah akan dapat hukuman semaksimum mungkin. Jangan ada kompromi atau dikurangkan hukuman," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS