Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sekalipun berdepan kecaman daripada segelintir rakan artis gara-gara mempromosi adegan berahi dalam Perempuan Itu, Zul Ariffin berkata, dia tidak mengambil endah dengan kritikan dilemparkan kepadanya.

Justeru, Zul mengambil pendirian tidak mudah melenting terutama apabila ada segelintir rakan artis yang tampil memberikan pandangan mereka berhubung kontroversi terbabit.

“Emosi saya langsung tak terjejas pun. Jika mereka puji pun saya tak peduli… apatah lagi kalau diberi kritikan. Tiada gunanya saya nak marah,” katanya.

Bagi Zul, sebagai seseorang yang sudah lama berkecimpung dalam industri seni, dia lebih selesa untuk tidak memberi sebarang komen seandainya perkara sama menimpa ke atas orang lain.

“Secara peribadi, saya memang tak akan beri komen sekiranya ada perkara negatif menimpa rakan seperjuangan dalam industri.

“Saya tak suka masuk campur hal orang lain. Sudah tentu saya bukanlah orangnya yang akan berikan komen sedemikian.

“Apabila seseorang individu sibuk memberi komen mengenai perihal orang lain, ia menjelaskan siapakah diri mereka yang sebenarnya sebaik membuka mulut,” sindirnya.

Zul berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran program raya Astro serta majlis berbuka puasa yang berlangsung sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin.

Terdahulu, naskhah arahan Ain Sharif dan hasil skrip karya Erma Fatima itu pada awal dijadual untuk tayangan di TV3 pada bulan Ramadan ini.

Sebagai mempromosi, pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu memuat naik klip video sedutan babak ‘panas’ lakonannya bersama pelakon baru, Siti Hariesa.

Perkongsian itu mencetus kemarahan orang ramai yang menyifatkan adegan dilakonkan menyerupai babak dalam filem lucah selain mencemarkan bulan suci Ramadan.

Selain mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, Zul, 35, turut hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selama dua jam.

Bagaimanapun, Zul tidak dapat memperincikan kehadirannya di SKMM kerana siasatan masih berlangsung.

“Saya pergi ke sana (SKMM) apabila dipanggil. Maaf saya tak boleh nak ulas lanjut. Takut mengganggu siasatan,” katanya.

Tutur pelakon Penunggang Agama itu, ketika ini dia masih menjalani baki penggambaran Perempuan Itu.

Bagaimanapun, portal ini menyiarkan laporan bahawa Perempuan Itu tidak akan ditayangkan dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai iktibar diperoleh daripada kontroversi yang berlaku, Zul menjawab ringkas dengan berkata, dia akan memastikan dirinya lebih “berhati-hati” selepas ini.

“Saya kena hati-hatilah lepas ni. Tak tahu nak cakap apa lagi. Tapi nak beri jaminan sesuatu seperti ini tak akan berulang tu sukar.

“Kerana bagi saya, memang tak ada jaminan dalam kehidupan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS