Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Aspek kebajikan seniman veteran diteliti untuk penambahbaikan - Annuar

Aspek kebajikan penggiat seni veteran sedang diteliti untuk tujuan penambahbaikan bantuan yang bersesuaian, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pihaknya sedang mengumpulkan data dan maklumat menerusi beberapa siri jelajah, bagi mendapatkan keperluan yang bersesuaian.

“Saya ambil peluang yang ada untuk bertemu sendiri dan bertanya khabar dengan mereka. Baru-baru ini pelakon Mat Sentul, hari ini Sarjan Saji (Ahmad Jamil Shuib) dan esok penyanyi Ahmad Nawab. Kena ambil tahu nasib pelakon, artis, penggiat seni, penghibur, kerana ada di antara mereka yang kini di penghujung usia.

“Mereka tidak patut dilupakan kerana satu masa, mereka pernah diminati. Kita tengok keperluan, bantuan dari segi ‘case by case’, tidak boleh buat secara adhoc, kena cari kaedah yang betul supaya bantuan itu disalurkan secara sistematik,” katanya selepas melawat pelakon Ahmad Jamil Shuib, yang mengalami angin ahmar di Flat Jalan Hospital, Ipoh petang ini.

Annuar berkata antara yang disyorkan adalah supaya kebajikan penggiat seni dapat diuruskan dengan cara teratur, dari segi perlindungan insurans dan bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengikut profesion masing-masing bagi penyelesaian secara tuntas.

Mengenai lawatannya, Annuar berkata beliau ada memberikan cadangan kepada Ahmad Jamil, 68, untuk berpindah ke kampung mereka, dan membina rumah tetap dari terus menyewa di flat tersebut.

Mengulas lanjut, isterinya Noor Davini Zainal Abidin, 44, berkata cadangan bantuan tersebut disambut baik serta akan diusahakan mereka, selepas mengambil kira faktor persekolahan anak-anak dan tempoh bersesuaian untuk bertukar kawasan kediaman kelak.

Beliau berkata suaminya diserang angin ahmar sejak dua bulan lepas di bahagian kiri dan kanan badan hingga menyukarkannya bercakap, namun pelakon veteran tersebut kini dalam fasa pemulihan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS