Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Iman Zulkarnain tak suka individu berfikiran toksik

Terpalit kecaman netizen gara-gara menceraikan kedua-dua isterinya, pelakon Iman Zulkarnain tampil membela diri dengan menyanggah tuduhan yang dilemparkan.

Aktor itu memberi amaran agar individu bersikap toksik untuk tidak mencampuri urusan keluarganya atau jangan membicarakan perihal orang lain yang mereka sendiri tidak tahu kebenarannya.

“Kecaman mereka mengakibatkan hubungan saya dengan keluarga kedua-dua bekas isteri semakin terjejas. Jangan ada sikap toksik, jangan berfikiran mundur.

“Bulan Ramadan yang mulia ni, kawal mulut, kawal minda, jangan lemparkan tuduhan sesuka hati. Ni tak adil. Takkanlah saya nak cerita secara terperinci kisah saya pada umum.

“Sudah tentu ada bahagian yang saya terpaksa pendam demi jaga hubungan kami (dengan bekas isteri),” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut pelakon Cinta Sekali Lagi itu, dia dan tunangnya mula berkenalan hampir setahun selepas berpisah dengan kedua-dua bekas isteri.

“Apa saya nak tegaskan adalah, perpisahan bukan disebabkan perkenalan dengan tunang saya. Kami hanya berkenalan hampir setahun selepas saya berpisah dengan mereka,” katanya.

Terdahulu, portal ini melaporkan Iman serik berpoligami kerana dia mengakui dirinya gagal untuk membahagikan emosi secara adil kepada kedua-dua belah pihak.

Untuk rekod, Iman, 30 tidak pernah mendedahkan sebarang isu berhubung rumah tangganya secara terperinci kepada umum.

Kisah perkahwinan Iman itu diburukkan lagi apabila penulis Uthaya Sankar SB mempolemikkan isu tersebut dengan memetik laporan Malaysiakini berjudul: “Dek serik berpoligami, Iman Zulkarnain pesan lelaki usah cari penyakit.”

Uthaya mengaitkan isu poligami itu dengan sunah melalui hantaran Facebook yang didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW pada 7 April lalu.

Dia yang ditahan reman pada 12 April lalu bagi membantu siasatan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin pada petang hari sama. Uthaya malah mengakui serik untuk menulis apa-apa mengenai Islam lagi.

Iman yang juga pelakon Air Mata Pendosa itu pada masa sama berharap agar umum tidak terus-menerus menjatuhkan hukum terhadap situasi yang didepaninya.

“Hati tu bersihkan, jangan main nak serkap jarang. Fikir dulu baik-baik sekiranya perkara macam ni terjadi pada diri sendiri atau keluarga, bagaimana kamu nak hadapinnya?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS