Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

M Nasir berkata dia kasihan kepada sesetengah penyanyi rock yang terpaksa berdepan dengan cabaran apabila tahap kehebatan vokal terhakis seiring dengan peningkatan usia.

Bagi penyanyi dan komposer itu, apabila semakin berusia, pemilihan lagu ‘berat’ akan memberikan cabaran getir untuk dinyanyikan dan ia boleh bermula seawal usia seseorang penyanyi itu mencecah 40-an.

“Saya pun kadang-kadang kasihan melihat rakan-rakan seperjuangan dalam industri yang masih berkecimpung sebagai penyanyi terutama penyanyi rock.

“Lagu-lagu yang boleh disampaikan suatu ketika dulu dah jadi berat untuk dinyanyikan pada peringkat umur mereka sekarang,” katanya.

Jelas M Nasir, 63, tubuh secara alami akan mengalami penurunan otot yang semakin melemah dan ia menyebabkan seseorang penyanyi hilang kemampuan untuk menyanyi seperti sebelumnya.

Nadia Azam 

Berbeza dengan situasi dialami diri sendiri, penyanyi itu berkata, dia sebaliknya tidak berdepan masalah besar untuk membawa lagu-lagu miliknya mengikut gubahan muzik yang asal.

“Tu perkara biasa sebenarnya. Kesan penuaan penyebab utama perubahan suara seseorang di usia lanjut. Jadi penyanyi ni sebenarnya susah, bukan mudah. 

“Bila dah sampai usia 40 tahun, otot pun mulai kendur. Namun, Alhamdulillah saya masih boleh menyanyi dengan baik walaupun usia dah hampir mencecah 64 tahun. 

“Sebabnya lagu-lagu saya tak ‘berat’ justeru, ia boleh dipersembahkan dengan key yang sama hingga ke hari ini,” katanya.

M Nasir ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Satu Hari Di Hari Raya yang diadakan di World Trade Centre, Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.

Harga tiket dibuka per meja untuk lapan orang bermula dari RM15,000 untuk VVIP termasuk sesi meet and greet, RM9,800 (VIP), RM7,800 (Platinum), RM5,800 (Gold) dan RM3,800 (Silver).

Konsert itu bakal diadakan pada 27 Mei ini bertempat di Dewan Merdeka, WTCKL, bermula jam 8 malam.

Penyanyi Sentuhan Listrikmu itu berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Amy Search yang didakwa sudah tidak boleh menyanyi secara langsung dengan baik apabila dia berkali-kali menyua mikrofon kepada penonton semasa di atas pentas.

Amy Search

Amy pula dalam satu temubual bersama media menjawab, dia berbesar hati menerima komen negatif diberikan selain mengakui masih menerima undangan nyanyian seperti biasa.

Pada masa sama, M Nasir berkata, seseorang penyanyi perlu mengetahui tahap kebolehupayaan nyanyian sendiri dengan sentiasa mempraktikkan latihan nyanyian walaupun jika tiada persembahan.

“Hari-hari saya praktikkan menyanyi, jadi saya tahu batas vokal saya. Jika tak buat macam tu, seseorang penyanyi akan hadapi masalah besar, jadi dia mesti berlatih.

“Tak boleh duduk diam saja walaupun tak mengadakan sebarang persembahan pentas. Cuma tak semua penyanyi boleh berjaya walaupun berlatih dari usia yang muda.

“Sebab itu namanya pemberian. Ada orang memang boleh menyanyi sampai umur 60 ke 70 tahun sebab teknik menyanyi digunakan selain kekal berdisiplin,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS