Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Langgar perjanjian, Ben Amir bayar RM100,000 pada syarikat produksi
Diterbitkan:  Apr 14, 2022 6:58 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Kes saman berkaitan pelanggaran perjanjian antara Ben Amir dengan sebuah syarikat produksi yang tercetus sejak tahun lalu diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-dua pihak mencapai persetujuan selepas pelakon terbabit selaku defendan bersetuju untuk membayar RM100,000 kepada plaintif, iaitu syarikat produksi Elisa Vision Sdn Bhd.

Hakim Tasnim Abu Bakar merekodkan perintah persetujuan kedua-dua belah pihak dalam prosiding kes hari ini.

Hari ini dijadual sebagai hari pertama perbicaraan kes saman itu namun namun kedua-dua belah pihak bersetuju untuk terus menyelesaikannya.

Dalam persetujuan itu, Ben Amir atau nama penuhnya Muhammad Amir Sabaruddin akan membayar wang RM20,000 sebanyak lima kali bermula 10 Mei ini hingga penyelesaian penuh sebanyak RM100,000 selesai.

“Jika defendan (Ben Amir) gagal membayar RM100,000, defendan perlu menbayar jumlah asal yang dituntut oleh plaintif (Elisa Vision) sebanyak RM211,477.

“Mahkamah juga merekodkan defendan menarik balik pernyataan tuntutan balas yang dikemukakan terhadap plaintif,” kata hakim itu seperti dipetik Kosmo Online.

Sementara itu, Ben Amir, 31, yang ditemui pemberita selepas prosiding kes enggan ditemuramah dan hanya menjawab ringkas: “Selesai secara baik.”

Penerbit Elisa Vision Sdn. Bhd, Mahfuzah Zakkiah Abdain pula berkata dia bersyukur apabila isu kes pelanggaran kontrak itu dapat diselesaikan secara baik.

“Alhamdulillah, saya bersyukur isu ini dapat diselesaikan secara baik. Saya pun sudah memaafkan dia di atas apa yang berlaku.

“Pada saya, ini berkat Ramadan. Dia pun orang yang baik dan saya tiada masalah dengannya kerana semua sudah selesai,” katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS