Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ahmad Idham mulakan usaha tingkat kesedaran pendidikan anak istimewa
Diterbitkan:  Apr 11, 2022 12:36 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Pelakon Ahmad Idham dan isterinya, Jameah Abdul Aziz semalam menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus dengan Tadika Sinar Indah Berkat.

Menurutnya yang merupakan pengarah Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus, MOU itu berkenaan jalinan usaha sama untuk mempertingkatkan lagi pembangunan dan kesedaran terhadap pendidikan khas kepada golongan anak-anak istimewa di sekitar Ampang.

“Ampang inilah tempat saya dan isteri saya membesar dan di Bukit Indah inilah di mana mulanya saya dan isteri mengusahakan tadika kami selama 14 tahun.

“Tadika ini juga merupakan tadika pertama di Bukit Indah yang memperkenalkan kaedah montessori.

“Saya nak mulakan dulu dengan Ampang sebagai Hub Pendidikan Khas dan insya-Allah akan saya kembangkan ke seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, selepas termeterai usahasama itu dia akan mengadakan pertemuan dengan beberapa sekolah dan menziarahi keluarga di sekitar Ampang untuk memberi bantuan kepada sesiapa yang memerlukan khidmatnya.

Tambah Ahmad Idham, sudah sampai masanya untuk dia secara serius berhubung dengan masyarakat yang selama ini menyokong kerjayanya hingga ke hari ini.

“Berjayanya saya selama 25 tahun dalam dunia seni ini adalah disebabkan sokongan peminat dan masyarakat di luar sana.

“Kini tiba masanya untuk saya membalas jasa mereka dengan memberi balik kepada komuniti. Insya-Allah,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS