Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penggiat seni: Tangguh cukai hiburan di S'gor hanya langkah sementara
Diterbitkan:  Apr 8, 2022 8:36 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Pengecualian cukai hiburan sebanyak 15 peratus oleh kerajaan Selangor bagi tahun 2022 hanyalah langkah sementara untuk tempoh berbaki lapan bulan lagi, kata sekumpulan penggiat seni persembahan.

Sebaliknya, mereka menggesa pihak berkuasa berkaitan mengadakan sesi perbincangan dengan kalangan penggiat seni bagi mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

“Walaupun pengumuman daripada menteri besar (Selangor) memberikan sedikit kelegaan sementara yang dialu-alukan, apa yang sebenarnya dilakukan ialah menangguhkan masalah itu ke satu tarikh yang akan datang.

“Sebenarnya, apa yang diumumkan ini adalah memberitahu penggiat seni di Selangor bahawa mereka mempunyai baki lapan bulan lagi untuk memindahkan persembahan mereka ke Kuala Lumpur.

“Kami yang bertandatangan di bawah ini menyeru agar kerajaan negeri mengadakan sesi penglibatan rasmi dengan para seniman, exco yang berkaitan dan wakil-wakil majlis tempatan segera bagi mencari penyelesaian kekal untuk perkara ini, supaya kita tidak perlu mengharungi semua ini sekali lagi pada Disember,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan penggiat seni Brian Gomez, Kavin Jay, Azmyl Yunor, Farez Jinnah, Darren Teh, June Tan dan Mak Wai Hoo.

Kumpulan itu juga berkata mereka berharap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengikut langkah itu dengan mengetepikan lesen hiburan untuk 2022, setelah cukai persembahan dikecualikan di Selangor.

"Ini jelas perkara yang betul untuk dilakukan kerana persembahan secara langsung telah diharamkan selama dua tahun, oleh itu pengecualian lesen sepatutnya selama dua tahun juga," kata mereka.

Terdahulu, kerajaan Selangor mengumumkan penangguhan cukai hiburan sebanyak 15 peratus bagi tahun 2022, berikutan bantahan daripada seniman dan pemilik tempat persembahan.

Golongan seniman sebelum ini membantah cukai hiburan yang disifatkan menindas, terutamanya apabila industri baru dibuka semula selepas sekatan sekian lamaterhadap aktiviti hiburan akibat wabak Covid-19.

Tahun lepas, Menteri Besar Selangor Amiruddin Shaari menjelaskan 15 peratus cukai hiburan yang dikenakan kepada penggiat senia adalah pengurangan daripada kadar asal 25 peratus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS