Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selangor tangguh pelaksanaan cukai hiburan
Diterbitkan:  Apr 8, 2022 1:06 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Kerajaan Selangor hari ini bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan bayaran duti hiburan di negeri itu sepanjang tahun ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Pejabat Menteri Besar berkata langkah tersebut diambil selepas kerajaan negeri menerima respons pihak yang berkenaan dan mengabil kira pandangan mereka mengenai duti tersebut.

"Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi pengecualian selama setahun bagi kadar duti hiburan untuk bayaran masuk pertunjukan pentas (bertiket) bagi artis tempatan berkuatkuasa 1 Jan hingga 31 Dis 2022," katanya.

Isu mengenai duti bagi pertunjukan hiburan bertiket mula diperkatakan sejak akhir tahun lalu.

Bagaimanapun Selangor menjelaskan pelaksanaan cukai hiburan sebanyak 15 peratus itu sebenarnya penurunan daripada kadar asal.

Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah menjelaskan pelaksanaan cukai tersebut digambarkan secara salah sehingga kerajaan negeri dilihat seolah-olah mengenakan cukai baru.

“Yang tepat ialah, kerajaan negeri mengurangkan cukai persembahan berbayar daripada 25 peratus menjadi 15 peratus, manakala cukai taman tema menjadi 5 peratus berbanding sebelum ini 25 peratus," katanya.

Pertengahan Mac lalu isu berkenaan kembali panas apabila beberapa pihak menyatakan rasa tidak senang mereka dan menganggap kerajaan Selangor "tidak berhati perut" kerana mengekalkan cukai sebanyak 15 peratus itu.

Busking juga tak dicukai

Pelawak komediri, Kavin Jay, juga mempersoalkan bagaimana kerajaan Selangor tergamak membebankan penganjur persembahan sepertinya dengan cukai tinggi sedangkan anak seni diketahui terpaksa bergelut dengan kesempitan ekonomi sepanjang dua tahun ini.

Tiga hari kemudian - iaitu pada 19 Mac - Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberitahu kerajaan negeri akan membuat pengumuman berhubung cukai hiburan dan menggambarkannya sebagi berita baik.

Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini bagaimanapun menegaskan pengecualian cukai tersebut hanya terpakai untuk artis tempatan.

"Pengecualian ini bagaimanapun tidak terpakai untuk artis antarabangsa," katanya.

Pada masa sama kerajaan negeri memberitahu tiada sebarang caj duti hiburan dikenakan untuk aktiviti busking.

"Kadar duti hiburan untuk live band (tidak bertiket) juga turut diberi pengecualian selama setahun bermula 1 Jan hingga 31 Dis 2022," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS