Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Belum nikah dah ada anak? Astagfirullah, kata Aizat

Astagfirullahaladzim.” 

Aizat Amdan beristighfar panjang apabila ditanya soalan mengenai imej wajah bayi yang didakwa anaknya.

Kata penyanyi itu, dia bukan seorang lelaki sebegitu, malah menegaskan masih belum bernikah.

Menurutnya, bayi berkenaan merupakan anak kakaknya.

“Tu anak kakak saya. Saya tak akan buat begitu dan masih belum berkahwin,” jelasnya menjawab tuduhan dilemparkan.

Bagaimanapun, menurut pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan itu, dia sebenarnya baru merisik kekasih yang juga merangkap pengurus bakat di syarikatnya, Elysaa Alia, 34. 

Kata Aizat, gambar bayi itu dimuat naik oleh Elysaa di media sosial kerana wanita berkenaan memang gemar melayan kanak-kanak.

“Kebetulan, Elysaa memang sukakan budak-budak, tu yang dia berkongsi gambar anak kakak saya,” tuturnya.

Aizat berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama media anjuran Armani Entertainment Group di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Aizat, 33, dia bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini bagaimanapun belum bersedia untuk mengumumkan tarikh berlangsungnya hari bahagianya itu.

Katanya, segala perkembangan mengenai majlis itu akan diuar-uarkan sebaik semua persediaan sudah diselesaikan.

“Insya-Allah, saya akan maklumkan suatu hari nanti. Sekarang kami belum boleh bagitahu apa-apa kerana semuanya bergantung pada situasi semasa.

“Memang kami ada berusaha ke arah itu seperti mencari lokasi yang bersesuaian. Cuma perlu melihat pada keadaan terlebih dulu baru boleh maklumkan kemudian,” katanya.

Sementara itu, mengulas perjalanan kariernya, Aizat memaklumkan dia kini sibuk menghasilkan lagu untuk beberapa penyanyi baru dari Armani Entertainment Group.

“Saya berikan sokongan pada artis baru sebagai mengalu-alukan kedatangan mereka dalam industri ni. Saya berminat untuk tawarkan buat lagu untuk mereka,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS