Meskipun pada awalnya Iman Zulkarnain yakin mampu berlaku adil semasa berpoligami, dia akhirnya akur apabila sangkaan berkenaan meleset terutama apabila melibatkan emosi.
Beranggapan tetap ada hikmahnya melalui dua perkahwinan terdahulu, Iman Zulkarnain menitip pesan kepada lelaki lain agar “jangan sengaja mencari penyakit.”
Katanya sebelum berpoligami dia sudah berfikir semasak-masaknya dan yakin mampu menunaikan tanggungjawab termasuk memberikan keadilan dari segi ekonomi.
“Tapi tak sangka, yang menjadi cabaran dalam berpoligami ialah bagaimana caranya saya kena bahagi emosi dan perasaan kepada dua orang berbeza.
“Justeru pesan saya kepada lelaki di luar sana, jangan sengaja cari penyakit,” katanya.
Menjadikan kisah dan pengalaman lalunya sebagai iktibar, Iman, 31, berkata perceraian atau krisis berumah tangga mampu dielakkan sekiranya seseorang suami memainkan peranannya dengan baik.
Menurutnya, dia kesal kerana yang menjadi punca krisis adalah dirinya sendiri ketika hubungan di antara kedua-dua wanita yang menjadi isterinya itu langsung tidak bermasalah.
“Tapi yang bermasalah adalah saya kerana kegagalan saya. Saya tak mampu untuk bahagikan emosi dan perasaan kepada mereka,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya baru-baru ini.
Untuk rekod, Iman mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama pada 28 Jan 2012 Hasil perkongsian hidup itu, pasangan terbabit dikurniakan tiga anak berusia, 10, 6, dan 4 tahun.
Dia mendirikan rumah tangga dengan isteri kedua pada 15 April 2019 tetapi mereka berpisah pada Dis tahun yang sama. Melalui perkahwinan tersebut mereka tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.
Dalami watak austistik
Pada tahun lalu Iman melafazkan talak ke atas isteri pertamanya pula namun proses pengesahan perceraian itu masih berjalan.
Iman berkata, pengalaman terdahulu banyak mematangkannya dan membuat dia berazam untuk tidak lagi menyakiti mana-mana wanita lain sekiranya berumah tangga lagi.
Iman - yang kini sudah mempunyai tunang dan merancang kembali berpasangan tahun depan - berjanji selepas ini untuk mengahwini hanya seorang wanita kerana sudah serik berpoligami.
“Sejujurnya saya serik. Saya serik untuk sakitkan hati manusia lagi. Jika nak berkahwin, biarlah satu saja kali ni,” katanya.
Untuk rekod, nama Iman mula meraih perhatian selepas membawa watak kecil sebagai peniaga warung bernama Man dalam drama fenomena Nur 2.
Sementara itu, mengulas perkembangan terbaru, Iman berkata, dia akan tampil di kaca televisyen melalui telemovie arahan Rashid Sibir, Jeman, yang akan disiarkan di Awesome TV Malaysia pada penghujung Ramadan ini.
Menurutnya, antara cabaran membawa watak Jeman adalah kerana karakter itu menuntutnya meniru sikap seorang lelaki autistik.
“Agak mencabar juga tapi mujur sebelum terima tawaran tu saya sering singgah di Instagram kak Zarina Zainuddin.
“Banyak gerak geri seseorang yang mengalami autisme saya cedok dari tingkah laku ditunjukkan anaknya, Azal. Ia banyak membantu saya dari segi lakonan dalam Jeman.
“Jeman sebuah kisah yang memaparkan seorang anak autistik yang dianiaya ibu tiri, watak dibawakan Farah Ahmad.
"Selain tu antara pelakon lain turut menjayakan Jeman ialah Khir Rahman dan Fauziah Nawi,” katanya.