Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Record of The Year antara kemegahan Silk Sonic di Grammy
Diterbitkan:  Apr 4, 2022 3:07 PM
Dikemaskini: Apr 5, 2022 2:53 AM

Duo R&B Silk Sonic menyapu bersih empat kategori utama yang dicalonkan pada Anugerah Grammy Ke-64 yang bersiaran dari MGM Grand Garden Arena, Las Vegas, AS hari ini.

Anderson .Paak dan Bruno Mars membawa pulang ‘patung’ Grammy yang diidamkan untuk kategori Persembahan R&B Terbaik, Lagu R&B Terbaik, Lagu Terbaik (Song Of The Year) dan Record Of The Year melalui lagu Leave The Door Open.

“Kami benar-benar berusaha sedaya upaya untuk kekal merendah diri pada ketika ini, tapi jika dalam industri kami memanggilnya sebagai sapu bersih,” kata .Paak semasa menerima Anugerah Record Of The Year.

Superduo itu mengejutkan pemain genre pop hebat seperti Billie Eilish, Olivia Rodrigo dan Lil Nas X apabila memenangi trofi untuk persembahan keseluruhan lagu, untuk anugerah keempat mereka pada malam itu.

Leave The Door Open adalah single perdana dipetik dari album Silk Sonic berjudul An Evening with Silk Sonic.

Lagu tersebut digarap bersama oleh Mars, .Paak, Christopher Brody Brown dan Dernst Emile

Sementara itu Emile yang juga penulis lirik lagu berkenaan mendedikasikan anugerah yang dimenangi kepada ibunya yang meninggal dunia baru-baru ini.

Foo Fighter dapat anugerah

Maars dan .Paak sebelum ini pernah mengadakan konsert jelajah bersama pada 2017 sebelum mengumumkan mereka telah membentuk sebuah band dan menghasilkan album.

Silk Sonic pernah membuat kemunculan pertama di Grammy pada tahun lalu dengan mempersembahkan Leave The Door Open sebagai penghormatan kepada legenda, mendiang Little Richard.

Sebagai artis solo, Mars dan .Paak masing-masing pernah memenangi 11 dan empat Grammy.

Pemenang Album Of The Year pula jatuh kepada Jon Batiste, seorang artis multigenre yang mendapat 11 pencalonan dalam Anugerah Grammy kali ini.

Dia hadir sebagai artis yang menerima pencalonan paling banyak berbanding mana-mana artis tahun ini.

Batiste memenangi lima Grammy termasuk Album Of The Year melalui We Are mengalahkan persaingan sengit daripada Rodrigo, Billie Eilish, Taylor Swift dan gabungan Tony Bennett dan Lady Gaga.

Taylor Swift

Selepas kemenangannya, Batiste memberi penghormatan kepada artis yang dikalahkannya dengan memberitahu penonton bahawa “seni kreatif adalah subjektif" dan menyarankan agar semua mereka "jadilah diri sendiri.”

Sementara itu, pendatang baru, penyanyi asal Amerika-Filipina, Olivia Rodrigo melakar sejarah apabila dinobatkan Artis Baru Terbaik pada acara tersebut.

Dengan kemenangan itu, Olivia, 19, menewaskan calon lain seperti Arooj Aftab, Jimmie Allen, Baby Keem, FINNEAS, Glass Animals, Japanese Breakfast, The Kid, Laroi , Arlo Parks dan Saweetie.

Pada acara yang penuh gilang gemilang itu, Olivia turut meraih trofi Persembahan Solo Pop Terbaik melalui Drivers License yang berjaya meledakkan namanya sejak kebelakangan ini.

Kumpulan rock popular, Foo Fighters turut memenangi tiga anugerah tetapi tidak hadir untuk menerima trofi berikutan kematian pemain dram mereka, Taylor Hawkins baru-baru ini.

Penghormatan lanjutan kepada Hawkins ditayangkan dalam segmen In Memoriam bagi menghormati artis dan tokoh industri muzik yang telah meninggal dunia.

Anugerah Grammy yang dihoskan Trevor Noah itu berlangsung selepas tiga bulan ditangguhkan berikutan penularan varian Omicron. Majlis itu juga ditukar lokasi asal dari Los Angeles ke MGM Grand Garden.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS