Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Video penyanyi seksi tular, JHEAT akan lakukan siasatan
Diterbitkan:  Apr 3, 2022 8:49 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Satu siasatan terperinci akan dilakukan berhubung majlis bertemakan “Arabian Dangdut Night” yang memaparkan video nyanyian seorang individu dipercayai lelaki menyerupai wanita berpakaian seksi pada majlis itu tular dalam media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Mohd Nor Hamzah berkata siasatan itu akan dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

“Siasatan adalah berhubung perlanggaran Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang mula diperkenalkan pada tahun 2020," katanya selepas membuat lawatan mahabbah di sebuah hotel di Kuala Terengganu, hari ini.

Video berdurasi 25 saat yang memaparkan nyanyian individu terbabit pada 25 Mac lepas dikecam netizen yang marah kerana ia berlaku beberapa hari sahaja sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Mohd Nor berkata kerajaan negeri sangat sensitif dengan perkara seperti itu yang menyinggung perasaan umat Islam dan berharap ia akan menjadi iktibar untuk semua pihak terutama pengurusan hotel di Terengganu agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS