Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rita tak nak 'terjebak' isu kontroversi demi maruah keluarga

Ketika industri hiburan tanah air terpalit pelbagai isu sensitif, pelakon baru, Rita Nadira sebaliknya tekad menjadikan tugas memelihara maruah keluarga sebagai keutamaannya.

Dia yang baru dua tahun terjun ke bidang lakonan selepas dunia peragaan berazam untuk sentiasa menjaga kelakuan kerana enggan tersalah langkah sewaktu meneroka perjalanan karier barunya.

“Selepas masuk ke dunia lakonan, satu perkara yang amat saya takuti dan seboleh-bolehnya mahu elakkan adalah adalah kontroversi mengenai diri saya.

“Bukan saja menjaga reputasi sendiri, saya juga perlu pelihara nama baik ibu, bapa dan keluarga. Saya tak mahu buat hal yang boleh merosakkan imej mereka,” katanya.

Mengakui kontroversi ada kalanya boleh menaikkan nama seseorang, Rita, 24, bagaimanapun menolak berbuat demikian kerana menyedari sebagai seorang selebriti, tingkah lakunya sering diperhatikan.

Bahkan, pelakon Tak Sempurna Mencintaimu itu berkata, sikapnya yang kurang bersosial mungkin boleh membantu dia mengelak daripada terjebak perkara tidak bermanfaat.

“Alhamdulillah, setakat ni, saya tak buat perkara bukan-bukan kerana fokus saya hanya pada kerja saja.

“Saya pula bukan jenis suka bersosial. Mungkin ada juga orang menggelarkan saya introvert. Hanya selepas bergelar pelakon, saya ada ramai kawan dalam industri ni.

“Apa pun, jika tak keluar bekerja, saya lebih suka duduk di rumah atau luangkan masa bersama keluarga saja,” katanya.

Rita berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Ramadan 2022 Astro dan sesi memperkenalkan duta kempen tersebut di ibu kota kelmarin.

Pada masa sama, mengulas watak antagonis sering dibawakannya, Rita berkata, dia sebenarnya selesa diberi kepercayaan untuk menerajui karakter seumpama itu.

Jelasnya, dia juga langsung tidak berkecil hati sekiranya ada penonton melabelkan dirinya sebagai wanita jahat dan jalang kerana watak-watak diberikan kepadanya itu.

“Sejujurnya saya seronok bawa watak antagonis daripada watak baik dan lemah lembut. Saya selesa memilih watak sedemikian.

“Bagi saya, sekiranya watak digalas berjaya dibawakan dengan baik, ia sekali gus membuatkan penonton lebih mengenali seorang Rita Nadira,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS