Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ramadan tanpa papa, anak Mamat Khalid masih terbayang-bayang

Hari ini genap lima bulan pemergian bapanya, Mamat Khalid, dan bagi Mohd Khalid Amen, dia mengakui masih terasa seakan-akan pengarah legenda itu masih ada bersamanya.

Dia yang mesra disapa Amen berkata, ketiadaan seorang figura ayah dalam keluarga adalah pengalaman memeritkan apatah lagi allahyarham itu tempat dia berguru dalam bidang perfileman sejak kecil.

Justeru, kerinduan terhadap arwah bapanya itu bagai tiada penghujung lebih-lebih lagi mengingatkan kenangan ditempuhi bersama sekeluarga setiap kali Ramadan.

“Aura kehadiran papa masih kuat dirasai. Rasa macam dia ada lagi bersama-sama kami sekeluarga menjalani rutin harian.

“Paling dirasakan apabila Ramadan kali ini cukup berbeza sebab selalunya papa yang akan merancang terlebih awal di mana tempat kami nak berbuka puasa.

“Sejujurnya, saya akui bila terkenangkan arwah papa, air mata ada kalanya menitis terutama ketika nak tidur malam,” katanya.

Menurut Amen, 26, bagi mengubati kerinduan sejak ketiadaan Mamat hingga ke hari ini, dia sering membayangkan orang tuanya itu seolah-olah sedang menjalani penggambaran di suatu tempat.

Orang tahu anak siapa

Jelasnya, dengan membayangkan kehadiran Mamat, ia seakan-akan menyuntik semangat untuk dia meneruskan kehidupan.

“Saya selalu bayangkan dia masih hidup dan sedang siapkan penggambaran di mana-mana. Inilah pendorong semangat buat saya setiap hari.

“Semua orang akan lalui hal sama, iaitu kehilangan seseorang yang mereka sayangi, jadi saya faham bagaimana perasaan mereka yang tiada bapa.

“Cuma saya risaukan mama, masih jelas terbayang kesedihan di wajahnya” katanya.

Amen berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Program Ramadan Astro di sebuah restoran di Kuala Lumpur semalam.

Sempena Ramadan, sebuah naskhah terakhir diarahkan Mamat iaitu program berkonsepkan masakan Warung Pak Jabit akan menemui penonton bermula 11 April jam 6 petang.

Allahyarham Mamat Khalid

Melalui program itu, Mamat bersama seorang lagi anaknya, Adam, 27, akan memperkenalkan menu resipi tradisional yang sudah lama dilupakan kaedah pembuatanya.

Siri program yang turut diarahkan oleh Amen itu diselangkan adegan lucu watak popular daripada barisan pelakon Kampung Pisang.

Mamat disahkan meninggal dunia pada 12.30 tengah malam di Hospital Slim River, Perak akibat serangan jantung pada 24 Oktober tahun lalu.

Untuk rekod, selain bertindak sebagai penyunting beberapa karya Mamat, Amen turut menggalas tanggungjawab menyiapkan karya terakhir bapanya, iaitu filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali.

Mengulas amanah dan tanggungjawab dipikulnya, kata Amen, dia bersyukur dapat memberikan sehabis baik dan menyempurnakan hasrat arwah dengan menyiapkan naskhah berkenaan.

Ditanya sama ada timbul tekanan memandangkan membawa nama yang cukup besar dalam industri perfileman, Amen bagaimanapun berkata, dia sudah biasa dengan perkara itu.

“Sejak dari dulu ramai orang tahu Amen anak siapa. Jadi, tiada tekanan dirasakan terlalu besar buat saya untuk menarik perhatian penonton.

“Saya rasa dah buat yang terbaik untuk papa dan keluarga. Tapi mungkin ini bukanlah hasil yang terbaik.

“Namun saya berjanji untuk berusaha dan mencuba lagi pada masa akan datang untuk karya sendiri yang seterusnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS