Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah kecewa kaedah promosi langgar batas, adat Melayu

Along Kamaludin mengaku dia berasa kecewa dengan sikap pelakon mahupun pengarah Perempuan Itu yang menggunakan teknik promosi yang melanggar batas dan adat Melayu.

Pengarah dan penerbit terkenal itu berkata, teknik promosi sedemikian tidak sepatutnya digunakan mana-mana pihak biarpun dengan niat sekadar mahu menarik perhatian penonton.

“Mungkin dia masih baru... jika pengarah lama tak akan buat sebab mereka pasti fikir dua tiga kali apa kesan selepas tu.

“Bagi saya, memang tak patut babak macam tu dilakukan. Kita tak perlu ketengahkan cerita Melayu untuk orang tonton dengan klip sebegitu.

“Kita ada batas orang Islam dan adat Melayu tak perlulah nak ikut orang Barat. Trend gimik atau publisiti macam ni hanya untuk orang IQ cetek,” katanya.

Along, 56, berkata, tindakan kurang bijak pengarah Perempuan Itu sekali gus mencalar imej pengarah lain.

Pengarah Along Kamaludin

Menurutnya, kontroversi yang menghimpit industri gara-gara perhatian tidak wajar turut mengundang malu jika dia meletakkan dirinya di tempat pengarah tersebut.

“Ada kawan sekolah yang hubungi saya dengan marah-marah. Apabila jadi macam ni, ia rosakkan dan cemarkan imej pengarah lain.

“Kalau saya di tempat pengarah tu, saya akan malu dengan keluarga dan industri,” tuturnya.

Ada hak untuk menolak

Along berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana program-program Ramadan Awesome TV dan kolabarasi amal tanggungjawab sosial korporat bersama Koperasi Amanah Pelaburan Bhd di Petaling Jaya semalam.

Terdahulu, pengarah drama Perempuan Itu, Ain Sharif, menjelaskan adegan yang bocor dilakonkan Zul Ariffin dan Siti Hariesa merupakan rakaman kedua yang mungkin tidak akan ditayangkan di televisyen.

Ain juga berkata rakaman tersebut akan digunakan untuk tujuan promosi sekiranya ia bersesuaian.

Zul Ariffin memuat naik klip tersebut pada 18 Mac lalu namun menurunkannya semula sehari kemudian selepas menerima kecaman pelbagai pihak.

Pelakon berbadan kekar itu turut memohon maaf semalam secara terbuka malah berjanji untuk lebih berhati-hati sebelum memuat naik sesuatu perkongsian untuk tontonan umum.

Untuk rekod, hari ini Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa memberitahu Zul Ariffin akan disiasat pihak berkuasa susulan memuat naik video ‘panas’ di media sosial.

Ia susulan gesaan beberapa pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa kementerian mengambil tindakan tegas terhadap isu video terbabit.

Along pada masa sama turut menegur Zul Ariffin yang sepatutnya bijak membuat pilihan.

Katanya, ketidakwajaran menerima arahan yang bukan-bukan membuatnya berasa jelek kerana beranggapan sebagai pelakon Zul Ariffin berhak menolak sekiranya kandungan yang akan dipaparkan tidak bersesuaian.

“Kenapa perlu sebar di media sosial? Mana jati diri sebagai orang Melayu? Maaf saya katakan, saya kecewa dengan artis tu. Dan kenapa lakonkan babak macam tu?

"Walaupun dengan alasan ikut arahan pengarah. Kena fikir dengan bijak dan boleh saja tolak.

“Bagi saya, ia satu benda yang mengaibkan untuk industri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS