Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zul Ariffin disiasat lepas muat naik klip video 'panas'
Diterbitkan:  Mar 22, 2022 10:45 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

Zul Ariffin akan disiasat pihak berkuasa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Kata Annuar pelakon terbabit disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia ekoran video 'panas' yang dikongsikan bagi tujuan promosi drama baru yang dibintanginya.

“Proses undang undang berjalan. Pelakon Zul Ariffin akan di siasat di bawah Seksyen 233 Akta KMM kerana hantaran (Instagram) yang menyalahi undang undang.

“Yang pasti adegan seperti yang dipapar itu tidak akan dibenarkan tayang, sama ada bulan Ramadan atau bulan yang lain.

“Jagalah nilai dan budaya,” ciap Annuar hari ini.

Klip video sedutan drama terbaru berjudul Perempuan Itu menjadi polemik selepas Zul memuat naik video berkenaan di Instagram atas tujuan promosi. Turut muncul dalam drama berkenaan ialah pelakon baru Siti Hariesa

Adegan ‘panas’ dalam video itu mengundang amarah rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam kerana drama itu dimaklumkan akan ditayangkan semasa Ramadan.

Kemuka permohonan maaf

Kontroversi itu turut mengundang kekecewaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menuntut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya mengambil tindakan tegas dengan segera.

Syarikat penyiaran TV3 juga tampil menjelaskan adegan tersebut tiada dalam perbincangan dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak stesen penyiar terbabit.

Mereka juga berpandangan adegan dipaparkan sememangnya tidak sesuai untuk disiarkan apatah lagi bagi tujuan promosi.

Sebelum ini, Zul juga telah membuat permohonan maaf menerusi hantaran Insta Story.

“Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan dari tindakan memuat naik video berkenaan.

“Selepas ini saya akan lebih meneliti dan berhati-hati untuk memuat naik sebarang bahan yang diberikan kepada saya untuk dipromosikan di media sosial,” tulisnya pada hantaran berkenaan.

Seksyen 233 akta KMM menggariskan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, termasuklah memberikan apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS