Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas undang kemarahan, Zul Ariffin mohon maaf
Diterbitkan:  Mar 21, 2022 4:50 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Susulan terpalit kontroversi video panas beberapa hari lalu, pelakon, Zul Ariffin tampil membuat permohonan maaf menerusi akaun media sosialnya.

Melalui hantaran di Insta Story, pelakon bertubuh kekar itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua yang terkesan dengan isu tersebut.

“Dengan hati terbuka, saya ambil maklum di atas semua respon dari banyak pihak berkenaan klip video yang dipaparkan sebelum ini.

“Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan dari tindakan memuat naik video berkenaan.

“Selepas ini saya akan lebih meneliti dan berhati-hati untuk memuatnaik sebarang bahan yang diberikan kepada saya untuk dipromosikan di media sosial,” tulisnya.

Klip video sedutan drama terbaru lakonan Zul Ariffin dan pelakon baru Siti Hariesa berjudul Perempuan Itu menjadi polemik selepas Zul memuat naik video berkenaan atas tujuan promosi.

Adegan ‘panas’ dalam video itu mengundang amarah rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam kerana drama itu dimaklumkan akan ditayangkan pada bulan Ramadan.

Kontroversi itu turut mendapat perhatian Menteri Agama iaitu Senator Idris Ahmad yang berkata dia kecewa dengan kejadian yang berlaku.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini tidak terkecuali apabila agensi itu menuntut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya mengambil tindakan tegas segera.

Syarikat penyiaran TV3 kemudian tampil memberikan kenyataan media susulan kontroversi yang semakin hangat diperkatakan itu.

TV3 berkata, mereka memandang serius dan mengambil berat akan suara dan pandangan orang ramai mengenai video dalam petikan adegan daripada drama Perempuan Itu yang tular di media sosial.

Menurut kenyataan itu lagi, adegan dipaparkan sememangnya tidak sesuai untuk disiarkan apatah lagi bagi tujuan promosi.

“Malahan adegan tersebut juga tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pengisian drama-drama tempatan perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“TV3 ingin mengingatkan semua pihak yang meliputi produksi dan para pelakon supaya menjadi lebih peka kepada tindak-tanduk yang dilakukan serta menjaga sensitiviti agama dan masyarakat terutamanya dalam menjayakan mana-mana karya,” kata kenyataan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS