Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Idris hela nafas panjang adegan panas klip Perempuan Itu
Diterbitkan:  Mar 19, 2022 3:44 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menyatakan kekecewaannya berhubung penularan paparan sebuah klip video iklan teaser drama Perempuan Itu yang dikongsikan di media sosial.

Idris menerusi hantaran di Facebook berkata video adegan panas tersebut jelas melampaui batas dan ia perlu ditegur.

“Hela nafas panjang saya. Apabila sebuah drama yang telah ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar taqwa.

“Namun, seolah dicemari dengan kegusaran yang saya kira melampui batas yang perlu ditegur,” katanya.

Idris bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci klip promosi berunsur maksiat yang dimaksudkannya.

Namun, dipercayai merujuk ciapan salah seorang pelakon drama terbabit.

Pelakon, Zul Ariffin hari ini menjadi topik bualan teratas di laman sosial Twitter selepas dipercayai memuat naik klip video ‘teaser’ drama Perempuan Itu.

Drama arahan Erma Fatima berjudul Perempuan Itu dibintangi oleh Zul Ariffin dan Mimi Lana itu akan menemui penonton di TV3 pada bulan Ramadan ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata dia akan menghubungi pihak terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara ini boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

Katanya, hiburan tidak dihalang dalam Islam.

“Namun, tatacara hiburan dalam Islam pastinya terdapat disiplin yang tegas, apatah lagi melibatkan ikhtilat (pergaulan) yang berlebihan dengan adegan yang ternyata mengundang maksiat.

“Industri hiburan di Malaysia ini bukanlah perkara yang ingin saya halangi, tapi jika ianya mencemarkan fitrah dalam agama, saya tidak boleh membiarkan ianya berlaku tanpa dinasihati.

“Saya akan menghubungi pihak yang terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara ini boleh ditegah dan diubah dengan hikmah,” katanya.

Pada masa sama, Idris menyeru seluruh umat Islam, tidak kira usia dan kedudukan, untuk bersiap menghadapi Ramadan yang menjanjikan sejuta hikmah oleh Allah SWT.

“Jauhi perkara mendekatkan kita dengan maksiat, agar Ramadan kita tidak tercalar dan cacat cela,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS