Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Cukai hiburan: Pelawak anggap Selangor tak berhati perut

Pendirian kerajaan Selangor mengenakan cukai hiburan sebanyak 15 peratus ke atas semua persembahan pentas dan seni dalam keadaan sekarang disifatkan sebagai tidak adil.

Perkara itu dinyatakan pelawak komediri, Kavin Jay, yang juga mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri tergamak membebankan penganjur persembahan sepertinya dengan cukai tinggi sedangkan anak seni diketahui terpaksa bergelut dengan kesempitan ekonomi sepanjang dua tahun ini.

Justeru, Kavin memohon kerajaan Selangor meneliti untuk melaksanakan pengecualian cukai bagi membantu penghibur berdepan tempoh sukar sehinggalah keadaan kembali pulih.

“Ini adalah perkara paling bodoh kerajaan negeri pernah buat. Hampir dua tahun anak seni tak boleh cari makan dengan adakan persembahan pentas. Tapi sekarang Selangor minta bayar cukai pula.

"Kadar 15 peratus itu terlalu tinggi untuk penerbit macam saya yang kena tanggung semua kos sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Lebih mengecewakan, kata Kavin, 42, dia dikehendaki membayar caj cukai 15 peratus itu sebelum pihak berkuasa tempatan mengeluarkan lesen seperti yang dihadapinya untuk sebuah persembahan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Selangor pada bulan lalu.

Kavin Jay

Katanya, hal itu menjadi masalah buat penerbit yang mempunyai modal kecil atau tiada modal langsung.

“Mereka harus mempunyai modal yang cukup besar sekiranya nak adakan persembahan di Selangor.

“Ini kerana jumlah itu perlu dibayar terlebih dulu menggunakan wang sendiri berdasarkan unjuran jualan tiket 100 peratus. Untung belum dapat tapi kena keluarkan wang sendiri dulu.

“Purata margin keuntungan untuk satu-satu jualan tiket persembahan kira-kira 10 hingga 15 peratus. Jadi, keuntungan sebenar kami adalah negatif bila dah tolak kos produksi, promosi dan cukai,” katanya lagi.

Tambah Kavin, meskipun penerbit boleh memohon bayaran balik jika jualan tiket tidak laku, proses itu boleh memakan tempoh yang lama.

Isu ini dibangkitkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ketika perbahasan DUN pada 8 Disember lalu.

Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah kemudian menjelaskan pelaksanaan cukai hiburan 15 peratus terhadap persembahan bertiket sebenarnya penurunan daripada kadar asal iaitu 25 peratus.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Amirudin bagi mendapatkan maklum balas lanjut berkenaan isu yang diketengahkan.

'Baik buat di Kuala Lumpur'

Seorang lagi pelawak komediri Jason Leong pula berkata perkara itu ibarat “ibarat sudah jatuh ditimpa tangga" buat penghibur sepertinya yang baru hendak memulakan semula hidup selepas siri perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

Menurutnya, bagaimana mereka boleh melunaskan caj 15 peratus cukai sedangkan ketika ini kapasiti lokasi persembahan masih terhad kepada 50 peratus penonton saja.

“Takkan kami nak jual tiket RM100 setiap satu? Ini bermaksud penonton kena bayar lebih, tapi siapa nak beli? Harga tiket yang melambung, penonton pun tak boleh bayar.

“Jadi kami macam dah jatuh ditimpa tangga, sebab perlu menepati perintah prosedur operasi standard sedangkan kami baru saja nak teruskan hidup, tapi ada cukai nak kena bayar," katanya.

Jason Leong

Leong yang menetap di Ara Damansara, Selangor turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang seperti menekan penerbit dan penghibur yang belum tentu dapat meraih keuntungan.

“Kenapa perlu kenakan cukai sedangkan penghibur macam kami belum tentu dapat buat banyak duit pun. Tak masuk akal. Saya nak buat persembahan tapi tak berkesempatan disebabkan cukai tinggi di Selangor.

“Lokasi saya duduk tak jauh dari Kuala Lumpur, baik saya adakan persembahan di sana saja, lebih jimat kerana tak ada cukai dikenakan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Teater PJPAC 1 Utama, Brian Kwan, menggesa kerajaan negeri agar menyokong industri kreatif yang baru hendak bangun kembali daripada kelumpuhan ekonomi dengan segera memberikan pengecualian cukai.

Brian Kwan

Katanya, sekiranya keluh kesah itu tidak dipeduli, Selangor akan menyaksikan kerugian besar apabila lebih ramai penerbit memilih lokasi persembahan di Kuala Lumpur.

“Buat pengecualian cukai atau turunkan kadar kepada lebih rendah bagi membolehkan industri pulih semula. Sekiranya lebih lama cukai itu dikenakan, lebih ramai penerbit akan memilih lokasi di Kuala Lumpur.

“PJPAC hanya dipisahkan dari Kuala Lumpur dengan Lebuh Raya Damansara - Puchong, tak jauh pun.

“Kalau penerbit tak mahu buat di sini, mereka boleh pilih platform lain di seberang jalan iaitu Menara Ken. Lama-kelamaan, tak akan ada penghibur nak buat persembahan di Selangor lagi,” jelasnya.

Kwan pada sama menegaskan, pelepasan cukai wajar diberikan kerana kegiatan seni persembahan adalah sebahagian daripada budaya dan bukan berbentuk hiburan semata-mata.

“Kena sokong seni persembahan. Nampak menghiburkan, tapi persembahan muzik klasik, tarian dan komediri adalah satu bentuk seni dan budaya.

“Kata pegang tanda pagar #KitaJagaKita, tapi yang saya lihat, ni lebih kepada #KitaTakJagaKita,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS