Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dari aksi lasak, Ahirine teruja berlakon filem

Bermula sebagai pelakon lagak ngeri, tuah terus mendatangi Ahirine Ahirudin apabila dia kini ditawar watak utama dalam pembikinan sesebuah filem.

Mengakui ibarat mimpi jadi kenyataan, Ahirine berkata, dia amat teruja apabila diberi kepercayaan oleh Zebra Studio untuk membintangi bukan satu tapi empat buah filem terbitan mereka termasuk Gadis Jolobu The Movie.

“Jujurnya, saya memang bercita-cita untuk menjadi pelakon, memandangkan saya suka berlakon, tawaran tu sukar untuk ditolak.

“Saya rasa sangat teruja untuk berlakon dengan ramai otai seperti Hattan, Khir Rahman dan Joey Daud dalam filem bergenre komedi yang mengangkat dialek Negeri Sembilan tu.

“Saya harap mereka boleh beri tunjuk ajar kerana saya masih baru dalam industri ni,” katanya yang akan menjalani penggambaran selama sebulan di Negeri Sembilan sepanjang bulan Mac ini.

Anak kepada figura berpengaruh dalam industri media iaitu Ahirudin Attan itu berkata, dia sebelum ini pernah menjayakan watak lasak melalui filem Remp-It 2 dan drama The Bridge.

Ahirine yang juga berpengalaman sebagai wartawan penyiar di Hlive, itu menjelaskan, minat mendalam terhadap sukan lasak mendorongnya untuk mengembangkan bakat dalam bidang lakonan.

“Dalam keluarga, tiada yang terjebak dalam dunia lakonan. Kebanyakannya semua orang media. Abang saya pun orang media.

“Awalnya saya banyak jayakan aksi lagak ngeri. Dari situ, saya diberi kepercayaan untuk jayakan watak lasak.

“Saya pernah ditugaskan jadi penunggang motosikal bagi watak Nabila Huda melalui Remp-It 2. Tapi, pada pertengahan penggambaran, produksi tawarkan untuk berlakon,” katanya.

Ahirine ditemui pada sidang media pelancaran Gadis Jolobu The Movie di Kuala Lumpur Jazz and Arts Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah filem berkenaan, iaitu CL Hor menawarkan watak heroin kepadanya kerana terdapat babak-babak aksi yang sesuai dengan karakter Ahirine yang merupakan seorang gadis lasak tetapi ayu dipandang.

Berkongsi lanjut, Ahirine berkata, dia pernah mengalami kemalangan gara-gara minatnya untuk membawa watak lasak.

Bagaimanapun, menurutnya, semua risiko dan ketakutan ditolak tepi demi meneruskan ‘keghairahan’ terhadap aktiviti itu.

“Tak saya nafikan, watak lasak memang berisiko tinggi untuk alami kecederaan. Saya juga sebenarnya pernah alami kecederaan di kepala dan dada disebabkan jatuh motosikal.

“Namun, dah minat, semua tu saya tolak ke tepi. Nama pun sukan lasak, kita kena pandai kawal dan tanggung risiko sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS