Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mahu ubah landskap politik dorong dua anak seni bertanding PRN Johor
Diterbitkan:  Mar 10, 2022 12:31 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Keinginan mengubah landskap politik negara di samping berkhidmat kepada rakyat, menjadi pendorong kepada dua anak seni untuk mencuba nasib bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon tunggal Parti Sosialis Malaysia (PSM) R. Arangkannal, 46, merupakan seorang pengarah filem, manakala calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Azrol Rahani, 41, pernah menjadi pereka grafik dan animasi.

Kedua-dua mereka senada bahawa ketidakstabilan politik yang berlaku menyebabkan mereka cenderung menjadi aktivis masyarakat, seterusnya berkecimpung dalam arena politik.

Arangkannal yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, berkata faktor utama yang mendorongnya ke kancah politik adalah peristiwa bersejarah antara dua tokoh besar pada 1998, yang telah mengubah corak politik sehingga kini.

“Jadi, kita (rakyat) menanti siapa yang akan mencari jalan penyelesaian dalam masalah politik tidak berkesudahan ini, tambahan pula dengan pandemik COVID-19, mengakibatkan politik negara semakin parah. Itulah sebab utamanya yang mendorong saya menceburi politik dan mahu berkhidmat kepada rakyat.

“Saya berhasrat nak jadi penyumbang idea (kepada penyelesaian kemelut politik). Masyarakat sudah letih dan bosan dengan apa yang dimainkan oleh ahli-ahli politik. PSM tidak mahu perkara itu diteruskan kerana kita mahu kebajikan rakyat terbela,” katanya.

Bagi Azrol,yang merebut kerusi DUN Bukit Permai pula berkata keputusannya membabitkan diri ke kancah politik, kerana berasakan jika hanya bergerak sebagai aktivis masyarakat serta alam sekitar, hasratnya untuk menjadi penyumbang kepada perubahan landskap politik, tidak akan tercapai.

“Sekiranya saya aktif sebagai aktivis sahaja, saya tidak dapat mengubah landskap politik jika berada di luar parti politik. Akhirnya, saya berfikiran kena masuk ke kancah politik supaya dapat memperbaharui polisi yang sedia ada,” katanya yang telah menjadi aktivis lebih 10 tahun.

Mengenai permasalahan dihadapi penduduk yang ingin diselesaikan sekiranya memperoleh mandat daripada pengundi di kawasan ditandingi mereka, masing-masing menetapkan fokus tersendiri khususnya dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.

Selari dengan perjuangan PSM yang mengutamakan hak asasi manusia, Arangkannal mahu menyelesaikan isu kos sara hidup yang semakin tinggi, dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan susulan ramai penduduk DUN Kota Iskandar terjejas, selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain menawarkan khidmat politik kepada masyarakat di kawasan Bukit Permai, Azrol komited ingin menyelesaikan setiap isu dihadapi warga Felda, malah mahu membawa konsep pertanian moden di tanah terbiar di kawasan Felda.

DUN Kota Iskandar melibatkan pertandingan lima penjuru antara Arangkannal dengan penyandang kerusi itu Dzulkelfy Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH), Pandak Ahmad yang mewakili Barisan Nasional (BN), calon Perikatan Nasional (PN) Samsudin Ismail dan Dr Zaini Abu Bakar daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Di DUN Bukit Permai, Azrol terlibat dalam pertandingan empat penjuru dengan Datuk Mohd Jafni Md Shukor mewakili BN, Tosrin Jarvanthi (PN) dan Mokhtar Abdul Wahab mewakili Pejuang.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian PRN Johor pada Sabtu ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS