Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Gara-gara dijangkiti Covid-19 akhir Februari lalu, pelakon Rozita Che Wan mengakui dirinya menjadi paranoid setiap kali dikelilingi ramai orang.

Kata Rozita yang mesra disapa Che Ta itu, dia mudah berasa paranoid disebabkan pernah mengalami kesakitan yang menjerihkan di saat mengidap wabak itu.

Malah, apabila diundang ke acara keramaian pelakon itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminta pereka untuk mencipta busananya yang ‘mesra’ prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, dia bimbang jika ada yang terlupa untuk mempraktikkan penjarakan sosial semata-mata kerana ingin bergambar.

“Macam hari ini, tengok rekaan pada bahu baju saya, ia bukan direka sekadar suka-suka tapi demi mengelak orang berhimpit-himpit dengan saya ketika bergambar,” katanya.

Pada masa sama, dia juga terpaksa berhati-hati dengan meminta semua orang di lokasi ketika dia bekerja untuk mematuhi SOP tanpa gagal.

“Walaupun yang berada di lokasi penggambaran itu memang sudah buat ujian pengesanan Covid-19, saya akan pastikan mereka sering pakai pelitup muka.

“Sekiranya belum tiba giliran dia untuk berlakon ketika itu, saya akan meminta pelakon berkenaan pakai pelitup muka dan jangan tanggalkan.

“Hanya tanggalkan sewaktu giliran dia untuk berlakon saja,” katanya lagi

Che Ta berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta kempen Jouls Luxe Fabrics for Rozita Che Wan sempena Hari Wanita Sedunia di sebuah hotel di ibu negara pada hari ini.

10 hari tak larat bangun

Berkongsi pengalaman hitamnya selama 10 hari positif Covid-19 bermula 23 Februari lalu, Che Ta berkata ia sesuatu yang meninggalkan kesan cukup mendalam dalam dirinya.

“Pengurus hubungi saya sehari selepas penggambaran dengan Han Byul untuk Mai Cheq Deco dan minta saya buat ujian swab. Saya terus ke klinik, keputusannya negatif.

“Bagaimanapun pada malamnya, saya mula rasa sakit badan dan diikuti gejala lain seperti sakit kepala, cirit birit, muntah, batuk, demam dan selsema.

“Sepanjang 10 hari saya memang tak larat bangun, waima untuk melihat telefon,” ujarnya.

Sementara itu, Pengasas Jouls Luxe Fabrics, Johan Lim berkata, dia dan isterinya, Alia @ Seri Hadia memilih Che Ta sebagai duta kempen untuk memberi inspirasi dan membantu golongan ibu tunggal.

“Daripada 10 peratus hasil jualan, kami akan salurkan kepada ibu tunggal, itu misi kami iaitu untuk bantu mereka bangun dan teruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Menurut Alia pula, daripada 13 koleksi dikeluarkan untuk edisi tersebut direka sendiri dengan merujuk pada personaliti Che Ta.

“Semua rekaan dibuat selepas menyelidik karakter Che Ta. Che Ta ini nampak saja macam seorang diva tapi tidak selepas mengenalinya.

“Dia seorang yang menepati masa dan bekerja dengan bersungguh-sungguh, sebab itu dia wajah yang sesuai mewakili jenama kami bagi kempen sambutan Hari Wanita Sedunia hari ni,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS