Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Azwan Ali digugur dari MIC ON! sebab masalah disiplin?
Diterbitkan:  Mar 8, 2022 6:34 PM
Dikemaskini: 12:02 PM

Azwan Ali digugurkan daripada program MIC ON! berkuat kuasa serta merta.

Pihak pengurusan Awesome TV memaklumkan Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA digugurkan daripada program realiti itu hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Adam Ilyas berkata, pihaknya mengambil tindakan keras apabila berlaku sebarang pelanggaran integriti.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan keseluruhan program MIC ON! untuk musim ini dapat diteruskan dengan lancar bagi menghormati semua pihak yang terlibat.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa pihak Awesome TV tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang hal-hal berkaitan dengan disiplin dan standard etika kerja bagi mana-mana pihak sama ada di kalangan tenaga produksi sendiri mahupun bakat yang terlibat dengan program-program terbitan kami.

“Pihak Awesome TV juga tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang bentuk salah laku atau gangguan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian,” katanya dalam satu kenyataan.

Adam Ilyas

Sehubungan itu, pentas utama MIC ON! yang akan berlangsung hari Jumaat ini akan dikendalikan secara solo oleh pengacara bersama sedia ada, Issey Fazlisham.

Untuk rekod, MIC ON! bersiaran setiap hari Jumaat jam 9.00 malam di saluran Awesome TV (Astro 123) atau MyTV (112).

Ia merupakan sebuah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian komedi terbitan Awesome TV yang menampilkan tiga figura seni tersohor tanah air iaitu Awie, Hattan dan Mas Idayu sebagai Juri Tetap.

Terdahulu, seramai 15 peserta berjaya diserap masuk untuk bersaing di konsert mingguan MIC ON! musim kedua bagi merebut gelaran juara.

Kesemua mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui oleh Fad Bocey, Ropie dan Ajak Shiro yang menggalas tanggungjawab selaku Manager untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada para peserta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS