Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
TGV: Isu teknikal, bukan VIP lewat
Diterbitkan:  Mar 7, 2022 3:56 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Pengendali rangkaian pawagam Tanjung Golden Village Cinemas (TGV) tampil ‘mencerahkan’ keadaan selepas dikecam susulan timbul dakwaan filem The Batman diulang semula tayangan gara-gara ada VIP yang datang lambat.

TGV menjelaskan selepas melakukan siasatan secara menyeluruh, pihak syarikat mendapati insiden di TGV Vivacity itu sebenarnya berpunca daripada masalah teknikal.

“Kelewatan sesi tayangan disebabkan isu teknikal di dewan IMAX kami, dan bukan disebabkan oleh ketibaan VIP yang lewat seperti yang salah dilaporkan melalui beberapa media.

“Di TGV, kami menghormati dan melayan semua tetamu kami secara sama rata dengan keutamaan.

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua orang bahawa keputusan untuk memulakan semula filem itu tidak dipengaruhi oleh kelewatan VIP dan kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, ada aduan mendakwa The Batman dimulakan semula selepas 45 minit ditayangkan pada 5 Mac lalu kerana beberapa VIP tiba lewat.

Kenyataan itu memaklumkan, walaupun isu teknikal sudah diperbetulkan, timbul pula masalah komunikasi antara pekerja untuk membenarkan tayangan jam 7.15 malam dimulakan tepat pada masanya.

“Ia menyebabkan pertunjukan pada jam 7.15 malam ditangguhkan. Pada ketika itu, 20 peratus penonton sudah memasuki dewan manakala baki 80 peratus masih menunggu di foyer dan masuk selepas tayangan dimulakan.

“Kami mengakui keputusan untuk berhenti dan memulakan semula filem itu menyusahkan pelanggan kami.

“Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan awal kami, ini bukan dasar penyaringan kami. Kami memberi jaminan bahawa kami sedang mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan kejadian ini tidak berulang,” katanya.

Selain itu, sebagai tanda permohonan maaf, TGV juga menawarkan dua tiket percuma dan bayaran balik penuh kepada pelanggan yang terjejas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS