Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lagu Pelukan Angkasa dendangan Shila Amzah dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) diumumkan sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur malam tadi.

Kemenangan lagu ciptaan Raja Nazrin Shah dan Fazleena Hishamuddin itu melayakkan mereka membawa pulang trofi Juara Lagu bersadur emas dan wang tunai RM100,000.

Untuk rekod, jumlah wang tunai tersebut pertama kali ditawarkan sebanyak itu pada edisi penganjuran ke-36 tahun ini.

Naib juara AJL36 menjadi milik lagu Cinta, ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim, nyanyian Marsha Milan menyaksikan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.

Menduduki tempat ketiga pula lagu Mimpi ciptaan Haqiem Rusli dan A Aida nyanyian Haqiem sendiri. Kemenangan itu melayakkan Haqiem memenangi trofi dan wang tunai RM30,000.

Suara penuh emosi Aina Abdul mendendangkan lagu Sepi ciptaan sendiri dan Wan Zakaria membawa tuah apabila ia diumumkan sebagai pemenang trofi Vokal Terbaik dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.

Pemenang bagi kategori Persembahan Terbaik jatuh kepada Marsha Milan menerusi lagu Cinta. Dia membawa pulang wang tunai sebanyak RM18,000, tajaan bersama NOIR Beauty dengan trofi.

Anugerah Penyanyi Popular AJL menjadi milik Aina Abdul dan Khai Bahar menerusi lagu Nafas Cinta. Mereka membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi. 

Lagu lain yang turut bertanding adalah Boneka nyanyian asal Ernie Zakri dinyanyikan Syamel, Salahku (Yonnyboii) dan Aewo (Shiha Zikir ft Noki).

Turut bersaing, Angkara (Siti Nordiana), Purnama (Naim Daniel), dan Intan Payung (Bunga ft Noraniza Idris).

Persembahan 12 finalis diadili oleh 10 juri profesional yang diketuai oleh Mozhani Ismail, LY, Syafinaz Selamat, Acis, Mike Chan, Helen Yap, Altimet, Edrie Hashim, Faizal Tahir dan Habsah Hassan.

AJL36 yang hanya dihadiri 200 penonton itu menyaksikan acara kemuncak dihoskan Alif Satar dan Nabila Huda manakala karpet merah oleh Sissy Iman dan Sean Lee.

Malam itu dimeriahkan dengan persembahan pembukaan daripada Jamal Abdillah, Mas Idayu, Ayda Jebat dan kumpulan Cassia. 

Peminat rock tegar juga dihiburkan dengan persembahan istimewa gandingan Kumpulan Wings dan orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik Ramli M.S yang berkonsepkan Rock Orchestra. 



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS