Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Musa jadi pengubah jiwa, minda Mizz Nina
Diterbitkan:  Mar 4, 2022 3:12 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Selepas tiga bulan membesarkan Musa, pasangan Mizz Nina dan Noh Salleh akhirnya menguar-uarkan berita gembira mereka itu buat peminat melalui media sosial malam tadi.

Kata Mizz Nina, anak angkatnya itu kini sudah berstatus mahramnya yang sah padanya.

“Alhamdulillah, sudah tiga bulan sejak ketibaan Musa dan kami amat bersyukur kepada Allah SWT kerana mengurniakan bayi ini dan doa kami menjadi kenyataan.

“Saya boleh mengesahkan dia kini adalah mahram saya. Alhamdulillah,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Shazrina Azman itu, sebelum Musa hadir dalam hidup mereka, dia sudah menempuh perjalanan sungguh panjang untuk mendapatkan cahaya mata.

Antara kaedah yang dicubanya untuk mendapatkan zuriat ialah melalui prosedur permanian beradas (IUI), persenyawaan in vitro (IVF) serta beberapa pembedahan.

Namun, kata Mizz Nina, 41, Allah mentadirkan dia menjadi seorang ibu melalui proses yang berbeza.

Katanya lagi, dia mengambil tempoh lebih dari setahun untuk bersedia ke arah itu. Dan ia berlaku selepas Noh mengutarakan cadangan agar mereka mengambil anak angkat.

“Jika Allah menghendakinya untuk kamu, tidak ada apa yang dapat menghalangnya. Hanya Dia yang mengetahui masa yang sesuai untuk segala-galanya tiba ke tempatnya. Segala ujian dan perjuangan adalah bersebab," katanya.

Berkongsi lanjut apa yang dialaminya, bekas penyanyi itu berkata, misi kemanusiaan yang sering disertainya membantu dia menguatkan hati untuk menjadi ibu kepada Musa.

Jelas Mizz Nina, dia sudah banyak melihat bayi dan kanak-kanak di luar negara yang kehilangan salah seorang atau kedua-dua orang tua mereka.

“Membuka hati saya untuk peristiwa yang mengubah hidup ni bukanlah suatu yang mudah dan saya sering panjatkan doa kepada Allah serta melepaskan segala rasa tidak yakin saya untuk percaya kepada ketentuan-Nya.

“Alhamdulillah, dengan Musa, hati, jiwa, minda dan tubuh saya sudah bersedia untuk menjaganya.

“Semoga dia membesar dan menjadi penerang umat. Semoga Allah melindungi keluarga kecil kita di dunia dan akhirat serta meredai kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS