Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bell Ngasri terharu dapat peluang buru lailatulqadar di Mekah

Tawaran mengerjakan umrah yang mendatang ibarat tuah berganda buat Bell Ngasri apabila ia turut membuka peluang untuk pelakon itu memburu lailatulqadar di Tanah Suci.

Seakan tidak percaya, Bell berkata, air matanya tumpah kerana umrah yang akan dikerjakan itu dijadual dilaksanakan pada 10 malam terakhir Ramadan tahun ini.

“Menitik air mata saya, sebab memang dah lama pasang niat untuk kerjakan umrah sejak pelaksanaan kawalan perintah pergerakan.

“Untuk kali ni saya akan berada di sana pada 10 hari terakhir Ramadan yang merangkumi salah satu malam lailatulqadar.

“Kalau betul ada rezeki, memang cantiklah nak buru lailatulqadar di sana. Sudah semestinya kita akan beribadah pada malam tu,” katanya.

Kongsi Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri itu, ia bukan kali pertama dia berkunjung ke Mekah kerana dia sudah pernah ke sana pada 2008 tetapi ketika itu tanpa ditemani isteri, Farhana Syasya Muhamad Fauri.

“Saya pasang niat jika rentas negara dibuka, tempat pertama nak pergi ialah Mekah. Kali ni insya-Allah, saya akan membawa isteri sama.

“Terima kasih kepada pihak syarikat Syabibah Travel & Tours kerana sudi memberikan tawaran cukup istimewa ni," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pakej umrah berkenaan yang berlangsung di Seri Kembangan, baru-baru ini.

Bercakap mengenai tawaran yang diterima itu, Bell memberitahu, segala-galanya bermula selepas dia menjayakan sebuah program televisyen bersama Faizal Ismail atau FBI.

Katanya, Faizal selaku pengurus promosi bagi syarikat pelancongan terbabit mengajaknya serta beberapa rakan artis yang lain untuk sama-sama mengerjakan umrah.

“Saya bersyukur Faizal berikan peluang ni. Walaupun ada pasang niat nak ke Mekah, saya tak tahu bila benar-benar dapat merealisasikan impian tu.

“Walaupun terbit rasa kebimbangan sebab kes Covid-19, saya mahu terus berfikiran positif, kita pergi ke sana nak tunaikan ibadah, semoga Allah bantu memudahkan urusan kami, insya-Allah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS