GLOBAL | Lima individu menaiki bot laju bersama pelakon televisyen Thailand, Nida "Tangmo" Patcharaveerapong berkemungkinan berdepan pertuduhan mengakibatkan kecuaian hingga menyebabkan kematian.
Kata polis Thailand, selain itu, kelima-lima suspek turut memberi kenyataan palsu kepada pihak berkuasa.
Lima individu terbabit adalah Idsarin "Gatick" Juthasuksawat , pengurus Tangmo, iaitu Wisapat "Sand" Manomairat, Nitas "Job" Kiratisoothisathorn, pemilik bot, Tanupat "Por" Lerttaweewit dan pemandu bot, Phaiboon Trikanjananun.
Tanupat and Phaiboon setakat ini sudah didakwa kerana mengendalikan bot tanpa lesen dan mengakibatkan kecuaian hingga menyebabkan kematian.
Menurut pegawai Polis Wilayah 1, bukti baru muncul apabila Bahagian Teknologi Jenayah (TCSD) berjaya mengesan telefon Tanupat dan mendapati dia membuat pengakuan kepada beberapa orang bahawa Phaiboon merupakan pemandu bot ketika insiden membabitkan Tangmo berlaku.
Phaiboon didakwa telah hilang kawalan disebabkan dia tidak mempunyai pengalaman profesional untuk mengendalikan bot, lapor Bangkok Post.
Ia mengakibatkan Tangmo - yang berada di belakang bahagian bot - cuba berpaut pada Manomairat kerana bimbang dia akan terjatuh.
Bagaimanapun, lebih menyayat hati, khuatir dia turut akan terjatuh ke dalam sungai, Manomairat menggoyangkan kakinya dan menyebabkan paha kanan Tangmo terkena bilah kipas bot berkenaan.
Polis akan memanggil kelima-lima suspek untuk berdepan pertuduhan kecuaian hingga menyebabkan kematian model yang menjadi pelakon itu selain pada masa sama memberi kenyataan palsu.
Seorang lagi pegawai polis, Leftenan General, Jirapat Phumjit berkata, Kiratisoothisathorn memberikan kenyataan bercanggah berhubung bot itu dikendalikan pada malam kejadian.
Dia merupakan satu-satunya saksi yang memberitahu polis bot laju itu tersentak secara tiba-tiba lalu menyebabkan Tangmo terjatuh ke dalam sungai.
Menurutnya, Phaiboon satu-satunya tertuduh yang gagal menghadiri lakonan semula polis menggunakan bot laju dengan model sama semalam. Dia mendakwa berdepan masalah darah tinggi.
Bot itu akan dibawa pada kelajuan dan pada laluan sama seperti kejadian malam itu.
Penyiasat kemudian akan menguji dakwaan mereka yang berada di atas bot tidak mendengar apa-apa bunyi apabila Tangmo jatuh ke dalam sungai, katanya lagi.
Lebih banyak ujian DNA daripada sampel yang dikumpul di atas bot itu akan diserahkan kepada penyiasat tidak lama lagi dan lebih ramai saksi akan dipanggil selain 12 individu yang telah hadir untuk soal siasat.
Telefon keenam-enam individu yang berada di atas bot itu sudah dihantar ke TCSD untuk mencari lebih banyak petunjuk bagi menyelesaikan kes terbabit.
Tangmo yang memiliki lebih 1.6 juta pengikut di Instagram pernah membintangi filem The Flying Leaf dan siri televisyen popular Bangkok Love Stories: Innocence.
Selepas pencarian selama 38 jam, mayat Tangmo ditemui di sungai Chao Phraya di ibu negara Bangkok pada 26 Feb lalu, dua hari selepas dia dikatakan terjatuh dari bot.
Ibu kepada Tangmo, Panida Sirayutthayothin dipetik Bangkok Post berkata dia tidak percaya bahawa kematian anak perempuannya kerana tidak sengaja terjatuh dari bot laju di Sungai Chao Phraya.
Panida juga menolak laporan tandas pada bot itu tidak berfungsi dengan baik.
"Tangmo seorang bintang filem. Sukar untuk membayangkan dia pergi ke bahagian belakang bot untuk itu," kata Panida.
Laporan sebelum ini berkata pelakon itu pergi ke bahagian belakang bot untuk membuang air, kerana tandas bot itu rosak.