Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiada gaji puluhan ribu, FBI kini ada makna 'kaya' tersendiri

Bukan diukur dengan materi dan wang ringgit, Faizal Ismail menganggap kepuasan yang bermakna adalah mendekati agama bukan lagi hidup dengan gaji mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Bekas penyampai radio Hot FM itu berkata, dirinya juga semakin “tenang” walaupun dia hanya hidup serba sederhana kini.

Faizal yang lebih dikenali dengan nama FBI itu menjelaskan, walaupun hanya menjana pendapatan melalui undangan forum di surau dan masjid, dia tetap bersyukur dan tidak lagi “meminta-meminta” seperti dulu.

“Demi kekalkan istiqamah dengan Allah SWT saya fokus undangan sebagai moderator forum dan tetamu jemputan. Tiada lagi gaji puluhan ribu. Dulu nak pakai kereta apa, saya dapat.

“Wallahualam memang daripada segi wang tunai tak banyak macam dulu, tapi rezeki saya sekarang tak putus. Ia sedikit tapi berterusan. Daripada situ, saya dah tak meminta-minta.

“Bila letak agama di depan dan Allah dalam hati, insya-Allah, Dia akan jaga keperluan kita di dunia dan akhirat,” katanya.

Tambahnya, disebabkan terlalu mengejar kemewahan di dunia dan memenuhi tuntutan kerjaya, dia sering tercicir hubungannya dengan Allah.

Katanya, dia juga disahkan oleh pengamal perubatan alternatif mengalami 'gangguan oleh sesuatu'.

“Bayangkan keperluan hidup saya seisi keluarga secara bulanan cecah belasan ribu. Sebulan saya kena jana pendapatan sekurang-kurang RM12,000 hingga ke RM14,000.

“Saya pernah memiliki sampai dua, tiga buah rumah. Tapi bila nak tidur tak boleh pejamkan mata, doktor juga sahkan tiada masalah dalam darah atau jantung.

“Ustaz-ustaz yang merawat berkata ada sesuatu yang mengganggu, tapi sebelum ni saya tak boleh nak dedahkan pada umum,” kongsinya.

Faizal berkata demikian ketika ditemui ketika ditemui pada pelancaran Umrah Syabibah Travel dan Tours bersama selebriti tanah air di sebuah restoran di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Selain Faizal, pakej umrah itu akan turut disertai pelakon seperti Saharul Ridzwan, Bell Ngasri, dan Zulin Aziz.

Kata Faizal, 45, pada awal penghijrahan, dia menerima cabaran besar daripada segi emosi malahan isterinya, Nor Azlina Ahmad Din pada ketika itu belum memahami dan menerima perubahan yang dilakukannya itu.

Bahkan menurutnya, Nor Azlina sering mempersoalkan perubahan yang dialaminya, namun situasi itu berubah selepas dia menjelaskan dengan mendalam usahanya ke arah kebaikan.

“Isteri hari-hari menghadap saya tanya itu ini. Tapi lepas dia perhatikan perubahan saya alami kerana keluar dengan tabligh, dia kata; ia adalah perubahan positif.

“Paling bernilai, isteri dan anak-anak turut mengikut jejak langkah saya mendalami agama. Ustaz pernah beritahu bukan mudah untuk saya terbang dengan dua sayap.

“Alhamdulillah, isteri saya semakin menerima dan dia juga sedang mengikuti jemaah tabligh wanita malahan anak-anak saya hari-hari pergi ke surau selain mereka dah boleh hafal surah-surah al-Quran,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS