Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ezad Lazim 'pening' dek Mengintai Tirai Dari Kamar

Ezad Lazim tidak menyangka tuah datang bergolek selepas lagu Exists, Mengintai Dari Tirai Kamar menjadi tular apabila dinyanyikan YouTuber terkenal Nabila Maharani Widyadewi secara duet dengan Zinidin Zidan hingga meraih lebih 100 juta tontonan di YouTube.

Kata penyanyi itu, dia sampai pening kepala memikirkan keputusan paling sesuai untuk diambil bagi merakamkan semula lagu tersebut memandangkan tawaran yang diterima cukup banyak.

Menurut Ezad, 42, dia menerima sekurang-kurang lima tawaran termasuk untuk menghasilkan filem disebabkan lagu berkenaan.

“Saya didatangi lebih dari lima tawaran dari pelbagai pihak untuk lagu ni. Memang macam-macam cadangan nak dibuat.

“Misalnya ada nak rakam versi terbaru, nak duet dengan penyanyi baru atau duet dengan penyanyi Indonesia.

“Tidak ketinggalan ada perancangan untuk gandingkan saya bersama Nabila dan Zidan. Malah yang nak buat filem pun ada,” katanya teruja.

Bagi Ezad, tawaran yang hadir dianggap rezeki dalam perjalanan kariernya selepas lagu yang ditukar kepada tajuk Buih Jadi Permaidani untuk pasaran Indonesia itu dinyanyikan sebagai cover song oleh YouTuber popular di negara berkenaan.

“Banyak tawaran datang tahun ni dan saya anggap rezeki bila lagu tu kembali tular dan ia beri impak positif kepada kerjaya kami.

“Tapi pada masa sama saya kena fikirkan tawaran ni bukan untuk saya saja tapi membabitkan Exists. Saari Amri pun ada tawaran nak diberikan pada kami,” katanya.

Buih Jadi Permaidani dimuat naik ke platofrm YouTube Nabila iaitu Nabila Suaka sejak Oktober tahun lalu.

Untuk rekod, Mengintai Dari Tirai Kamar dicipta Saari Amri pada 1997.

Ezad pernah mengumumkan dia keluar dari Exist. Namun, akan bersatu dengan kumpulan yang ditubuhkan pada 1991 itu jika ada projek tertentu bersama band berkenaan.

Dia pada masa sama berterima kasih kepada Nabila dan Zidan serta ramai lagi penyanyi di Indonesia kerana sudi menyanyikan semula lagu berkenaan.

Mengulas pasaran untuk Mengintai Dari Tirai Kamar, Ezad berkata, dia lebih terbuka untuk memasarkan lagu itu ke Indonesia memandangkan hasil penstriman lebih banyak di sana.

“Sejujurnya, saya lebih suka jika dapat gabungkan pasaran Malaysia dan Indonesia kerana pasaran di sana lebih besar untuk peminat lagu-lagu kami.

“Sebelum ni, hasil pendapatan yang diraih menerusi penstriman pun lebih banyak diperolehi dari Indonesia.

“Ia sesuatu yang tak disangka dan kami anggap bonus serta rezeki. Insya-Allah tahun ini akan ada hasil terbaru dari Exists,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS