Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Akui tak ada bakat berlakon, Amir Masdi teruja respons positif

Menyedari dirinya tidak berbakat dalam bidang lakonan, penyanyi Amir Masdi mengakui dia teruja apabila kemunculan sulungnya dalam drama bersiri Ahli Bapak Bapak Club tahun lalu mendapat pujian ramai.

Katanya, ketika itu dia hanya mencuba nasib selain mencari pengalaman berbeza daripada apa yang diceburi sebelum ini.

“Saya tak sangka lakonan dalam drama tu dapat maklum balas positif hingga ramai yang puji. Namun, saya akui memang tak ada bakat sebagai pelakon.

“Dulu bila saya terima peluang berlakon drama tu, ia sekadar lebih kepada mahu cari pengalaman saja,” ujarnya.

Amir - yang namanya mula meraih perhatian melalui lagu Kau Sakiti itu - berkata dia juga bersedia untuk pergi lebih jauh dalam bidang lakonan jika diberi kepercayaan lagi.

Jelas pemilik nama penuh Amir Syazwan Masdi itu, dia sedia memberi pertimbangan kalau ada tawaran berlakon asalkan dapat mempelajari ilmu pengetahuan dalam bidang tersebut.

“Apa pun saya tetap bersedia untuk berlakon lagi jika diberi peluang. Lagipun banyak yang dipelajari ketika kali pertama berlakon dulu,” katanya.

Amir berkata demikian pada sesi sidang media secara maya pelancaran Debu, lagu duetnya yang dinyanyikan bersama Dayang Nurfaizah semalam.

Single Debu itu diterbitkan secara usahasama oleh Nova Music dan Faithful Music serta diedarkan Universal Music Malaysia. Ia berada di semua pelantar muzik digital sejak 22 Feb lalu.

Mengulas projek terbarunya itu, Amir, 25, menganggap ia satu penghormatan apabila dipilih sebagai pasangan duet Dayang Nurfaizah, malah lebih daripada itu peluang berkenaan seperti mimpi yang menjadi realiti.

Katanya Dayang Nurfaizah adalah antara penyanyi menjadi kesukaannya.

“Lebih-lebih lagi apabila mengenali sikap Dayang yang merendah diri dan dia pernah kata segan dengan saya.

“Jadi dari situ, saya berasakan dia seorang yang sangat merendah diri untuk seseorang yang sudah memiliki status serta nama yang besar dalam industri.

“Perkara itu membuatkan saya berasa terharu dan sangat dihargai. Dia tak anggap saya ni orang baru atau tak, dia tetap layan saya sama macam semua orang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS