Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Meskipun bergelar seorang tauke restoran, penyanyi Ayie Elham mengakui dia tidak segan silu untuk menambah cawangan terbaru walaupun dengan hanya berniaga di tepi jalan.

Vokalis Floor 88 itu juga mengakui tidak kisah sekiranya perlu berdepan risiko gelombang panas mahupun hujan lebat berpanjangan.

“Tak kisah perlu berpanas, kalau dah berniaga tepi jalan, tu semua bukan masalah buat kami,” katanya menjelaskan rancangan mengubah angin dalam perniagaan yang diceburi.

Kata Ayie, idea untuk berniaga di tepi jalan terlintas kerana berasakan ia lebih mudah untuk diuruskan berbanding mengusahakan restoran.

Ayie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert sulung mereka, Infinity Eighty8 di Grand Barakah Hotel, Ampang baru-baru ini.

Floor 88 dijangka mengadakan konsert itu pada 27 Mac ini di lokasi sama. Selain itu, mereka turut dipelawa untuk mengerjakan umrah pada pada 18 hingga 26 Mei depan.

Pemilik nama sebenar Nik Fadlee Elhamshah itu juga pada masa sama enggan mengambil pusing terhadap cakap-cakap belakang segelintir pihak mengenai keputusannya untuk berniaga di tepi jalan.

“Saya nak cuba berniaga di tepi jalan. Buka khemah dan berniaga. Bagi saya, cara ni lebih mudah sebab tak perlu fikirkan beban kos sewa.

“Hanya perlu memohon lesen dan jika diluluskan, boleh la saya pacak khemah tu nanti.

“Saya pun jenis orang yang suka beli makanan di tepi jalan. Tak perlu segan pun sebab semua orang sedang berjuang untuk ekonomi masing-masing,” katanya.

Untuk gerai berkenaan, anak kelahiran Tawau dan isterinya, Tasha Awie itu akan menawarkan menu nasi lalap.

Biasanya hidangan yang popular di Sabah itu menyajikan nasi, sup dengan lauk ikan atau ayam goreng berulamkan kubis dan kacang panjang.

Sementara itu, mengulas perniagaan restoran yang dimiliki, Ayie, 24, berkata, dia berharap kerajaan tidak lagi menguatkuasakan satu lagi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, keadaan itu sekiranya berlaku bakal menimbulkan masalah buat orang ramai termasuk pengusaha perniagaan sepertinya.

“Alhamdulillah, perniagaan saya boleh dikatakan hampir kembali pulih dan beroperasi seperti biasa. Pelanggan semakin bertambah cuma risau tu tetap ada jika kes Covid-19 semakin naik.

“Bukan apa, sekiranya hal tu berlaku, pelanggan tidak dibenarkan untuk dine in lagi dan situasi tersebut memang menyakitkan kami,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS