Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tabik hormat buat pengkarya Synonym
Diterbitkan:  Feb 22, 2022 9:15 AM
Dikemaskini: 1:15 AM

"Kita perlu wujudkan lebih ramai kolektor," kata U-Wei Haji Saari semasa kami berbual-bual dengan sekumpulan pelukis yang terlibat dalam pameran Synonym.

Pameran catan oleh sekumpulan seniman teriktiraf yang berada dalam pertengahan karier itu disertai oleh Jamil Mat Isa, Zaharin Mohammad, Fauzin Mustafa, Zakaria Shariff, Zainon Abdullah, Hamdan Shaarani, Zaim Durulaman, Johan Marjonid, Hanif Khairi, Rosli Zakaria, Rohaizad Shaari dan Abdullahjones.

Ia berlangsung di Galeri Prima, Bangsar di Kuala Lumpur dari 7 hingga 23 Feb ini.

Pameran itu adalah rentetan daripada siri pameran yang dimulakan pada 2016 - bermula dengan pameran 7UJUH, diikùti Ambiguity dan kemudiannya Mindscape.

Rantaian pameran dari kumpulan terbabit terhenti apabila virus Covid 19 melanda dunia.

Pameran pertama kumpulan ini disertai oleh pelukis dan pengarca Annassuwandi Ahmad, Rosli Zakaria, Hamdan Shaarani, Johan Marjonid, Jamil Mat Isa, Zaharin Mohammad dan juga Zainon Abdullah.

Seperti yang dinyatakan Rosli semasa acara pembukaan pameran Synonym baru-baru ini, kumpulan pelukis yang tidak mempunyai nama khas itu akan sentiasa bertukar ahlinya.

Mengangkat seni pribumi

Ianya adalah untuk memberi peluang kepada seramai mungkin pekerja seni sama-sama berpameran sambil bertukar-tukar kepandaian dalam bidang masing-masing.

Menurut U-Wei yang merasmikan pameran tersebut, tidak ada apa yang hendak disentuh mengenai karya yang dipamerakan kerana semua karyawan yang terlibat sudah membuktikan keberadaan mereka dipentas seni catan negara.

Apa yang diperlukan, menurut beliau, ialah untuk melahirkan lebih ramai pencinta seni catan. Dengan cara demikian perkembangan arena catan negara ini akan lebih galak dan memberangsangkan.

Dia memberi contoh bagaimana seni tradisi masyarakat pribumi Australia diangkat sehingga diiktiraf sebagai sebahagian daripada seni halus. Kedudukannya sebagai kerja kraf masyarakat pribumi ditinggalkan terus.

Hari ini karya seni yang dihasilkan oleh orang asal Australia dipamerkan di banyak galeri seni di seluruh dunia.

Usaha mengangkat seni pribumi Australia itu dibuat bersungguh-sungguh sepertimana yang dilakukan oleh sekumpulan kolektor dari Indonesia yang menggangkat karya-karya seniman mereka.

Berjuang menggangkat karya negara sendiri seharusnya menjadi agenda terpenting tokoh-tokoh kolektor negara ini, selain perjuangan mereka untuk mempunyai hak berbangga-bangga.

Juga perlu ada penulisan yang tekal mengenai karya tempatan oleh kalangan sarjana dan juga penulis picisan termasuk mereka yang duduk di meja hiburan.

Luangkanlah sedikit masa untuk melaporkan seni catan tempatan sambil-sambil sibuk dengan berita tidak berfaedah selebriti kaya yang tidak bermanafaat itu.

Untuk pameran kali ini, Fauzin Mustafa kembali menghasilkan karya yang begitu sinonim denganya. Dia mempersembahkan siri kolaj yang selama ini memperkenalkan dirinya di khalayak seni catan negara.

Rosli yang diangkat menjadi jurucakap bagi kumpulan pelukis untuk Synonym menyifatkan Fauzin sebagai 'Bapa Kolaj Negara'.

Bahagia membawa kesuburan

Ketika ditanya mengapa dia seakan membuat pusingan U dalam berkarya yakni kembali kepada siri awal, Fauzin berkata, ia bertepatan dengan judul pameran iaitu Synonym.

Fauzin adalah antara peserta terbaru dalam siri pameran berkumpulan berkenaan. Selain dia, Hanif Khairi juga menyertai kumpulan tanpa nama berkenaan untuk kali pertama.

Pemegang ijazah kedoktoran dari Universiti De Monfort itu memilih arca sebagai alat untuk menyalurkan hasil kreatifnya. Dia mengabungkan kayu dan plastik untuk menghasilkan arca yang diilhamkan daripada bunga telur.

Dalam alam perkahwinan Melayu, bunga telur dijadikan hadiah untuk para tetamu dan ia juga menjadi simbol kepada harapan kesuburan untuk kedua mempelai.

Gabungan kayu dan plastik dalam karya Fauzin disimbolkan sebagai kerjasama yang dapat membentuk semacam kebahagian walaupun dari ragam yang berlainan. Dan dari kebahagian tersebut melahirkan pelbagai kesuburan.

Dia mengandaikan plastik dan kayu adalah kerjasama pelbagai bangsa di negara ini yang diharapkan akan menjadikan kita semua lebih berharmoni dalam kehidupan yang serba rencam.

Walaupun bukan peserta asal kumpulan ini, pengarca yang disegani dan dihormati, Zakaria Shariff, pula mempertaruhkan arca yang dibentuk daripada bahan-bahan terbuang.

Pokya Shariff yang kini sedang popular dilaman TikTok - setakat artikel ini ditulis, PoyaStudio telah mengumpul hampir 350,000 pengemar - menjadikan cerita pandemik Covid-19 sebagai asas kepada karya terbarunya.

Besi-besi buangan yang ditemuinya di kedai membaiki motosikal dibentuk dengan begitu teliti dan organik. Di samping kecanggihan arca itu terdapat juga unsur-unsur satira dipaparkan.

Didalam perbualan setelah perasmian, U-Wei secara berseloroh berkata, jika hanya seniman yang sibuk meraikan acara-acara kesenian maka ia tidak ubah seperti perbuatan sumbang mahram.

Hal ini berlaku dalam semua acara seni di negara kita. Penulis hanya datang ke majlis penulis, manakala pelukis duduk berkumpul sesama pelukis. Jarang berlaku silang seni di antara pekerjanya.

Dan untuk mengharapkan Mak Syam dari Pulau Tuba datang ke pameran lukisan adalah suatu angan-angan yang tidak mungkin direalisasikan.

Macam memberi amaran

Agak menarik kali ini apabila Rosli - yang merupakan ahli asal kumpulan - mempersembahakan apa yang digelarkannya sebagai 'arcalukis' atau sculpdraw.

Seperti gelaran tersebut, dia mengabungkan arca dan lukisan untuk menghasilkan karya yang semacam bertegas mahu menarik perhatian sesiapa yang melihatnya.

Karya-karya tiga dimensi yang dihasilkan bercerita mengenai keresahan pengkarya akan kekalutan politik dalam negara. Seperti kejahatan yang tidak mempunyai rasa malu itu, karya-karya Rosli sangat menonjol dalam Synonym.

Johan Marjonid dan Rohaizat Saari pula mempertahan kehebatan masing-masing dengan mempersembahkan karya yang semenangnya menjadi 'makanan' mereka.

Hutan, sungai dan batang kayu yang menjadi identiti Johan 'digoreng' sedemikian rupa sehingga kita seolah-olah berada di tempat kejadian.

Dalam kusut kemusnahan alam yang tidak pernah kita bayangkan akan berlaku di tempat kita ini, karya-karya Johan seakan-akan memberi amaran. Sekiranya kita masih degil mahu merosakkan sisa-sisa keindahan yang ada, mungkin suatu hari nanti kita hanya boleh melihat keamanan alam hanya melalui lukisan.

Suara yang sama juga digambarkan oleh Abdullahjones dalam siri Kenanga Tinggal Hanya Yang Di Taman i, ii, iii, iv dan v.

Untuk pameran kali ini dia cuba keluar dari kepompong selesa dan menghasilkan karya yang sedikit asing dari kebiasaannya. Ia juga adalah prelud kepada pameran tunggal Abdullahjones yang akan datang.

Rohaizat pula masih kekal romantis dengan kenangan. Justeru kali ini - selain menghasilkan karya cat air di atas kertas - dia cuba memberanikan diri bereksperimen menggunakan medium kegemarannya itu di atas permukaan kanvas.

Hasilnya Rohaizat menemukan suatu gaya yang amat memberangsangkan.

Dalam siri Bias, Hamdan Saarani cuba mengambarkan hubungan alam dan manusia. Bayang-bayang pokok dibentuk sebagai mewakili keakraban itu dan dia cuba mentafsirkan pembuktian saintis Jepun Dr Masaru Emoto bahawa molekul air yang dimaki hamun akan mengambarkan keresahan, manakala air yang dibelai pula akan menghasilkan molekul teramat cantik.

Membuai rasa romantis

Berlainan dengan Zainon Abdullah. Sesuai dengan peningkatan usia, pensyarah UiTM Seri Iskandar bersama Hamdan itu memilih tema hubungan manusia dan Tuhan sebagai asas karyanya.

Dia menjadikan pohon-pohon yang digarap separa abstrak sebagai zikir memuji dan meminta belas daripada Yang Maha Pencipta.

Kegalauan pengkarya jelas dapat dilihat daripada pemilihan warna-warna yang berserba dalam karyanya kali ini.

Jamil Mat Isa juga memilih tumbuhan sebagai asas. Ia terlahir selepas dia meneliti dua perkembangan penting dalam dunia seni catan negara iaitu Kongres Kesenian Nasional 1971 dan Seminar Akar-Akar Pribumi Dan Perkembangan Kini 1979 yang memberi impak besar kepada karya-karyanya.

Dengan motif bunga-bunga yang selalu menjadi kegemaran seniman dan artisan, Jamil bergaya mengetengahkan karya-karya yang membuai dan sedikit romantis.

Walaupun seakan mahu lari daripada karya-karya realisme dan cuba terjun ke dunia abstark, untuk pameran ini Zaim Durulaman kembali kepada kepakarannya.

Berpindah ke rumah dan studio baru di luar kota membuatkan Zaim mula menghargai alam sekelilingnya. Biarpun bergelut dengan serangan monyet dan kera yang seolah-olah tidak mahu memberikan keamanan kepada rumah barunya, Zaim macam faham mengapa haiwan-haiwan berkenaan menjadikan laman dan ruang studionya sebagai tempat permainan dan melepaskan geram.

Banjir besar yang melanda negara baru-baru ini juga menginsafkan Zaim. Kerana itu karya Zaim kali ini menegaskan pentingnya pembangunan yang terkawal.

Tentu ada beza di antara lapar dan lahap, serta imej jentolak nun jauh di atas kanvas dengan bunga layu di depannya, membuatkan kita menjadi sayu kerana tidak berupaya mempertahankan alam walaupun kita mencintainya.

Kuasa di tangan orang manakan boleh menahan cinta di hati kita.

Zaharin Mohammad yang digelar sebagai 'Pelukis Instagram' kerana gemar menghasilkan karya-karya bersaiz mini memeranjatkan banyak orang apabila mempersembahkan karya gergasi.

Karya tak terhenti

Mungkin kerana kemarahan yang tidak dapat dibendung, pelukis yang bersuara aman itu menjerit seperti ribut melalui siri Kepala Air.

Dia yang kini memilih untuk bermastautin di Temerloh, Pahang melihat sendiri kemusnahan yang berlaku semasa banjir besar melanda beberapa kawasan baru-baru ini.

Dengan gurisan dari bahan yang sentiasa dirahsiakan itu, Zaharin mendera kanvas seolah-olah sedang melepaskan kemarahan. Walaupun begitu, kemanisan warna yang dipilih tetap membuatkan karyanya menggiurkan.

Karya Zaharin kekal seksi dan mengasyikkan.

Menurut U-Wei, pameran Synonym mengumpulkan pengkarya yang serius dengan kerja masing-masing.

Katanya lagi, seniman yang berpameran tentu saja akan terus menghasilkan karya kerana - walau dipukul gelombang Covid-19 dan disekat daripada mengadakan pameran selama lebih dua tahun - penghasilkan karya mereka tidak pernah terhenti.

Pengarah itu kemudian memberikan tabik hormat kepada semua seniman yang terlibat. Selebihnya, kata U-Wei, terserah kepada khalayak untuk memilih cara untuk meraikan mereka itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS