Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zulin Aziz selamat bergelar isteri
Diterbitkan:  Feb 20, 2022 11:14 AM
Dikemaskini: Feb 28, 2022 5:02 AM

Dengan sekali lafaz, Zulin Aziz sah bergelar isteri kepada rakan kongsi perniagaannya, Farhan Norzaini, di Masjid Negara, pada jam 9.20 pagi tadi.

Majlis akad nikah itu berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur (Jawi).

Mereka dinikahkan Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni dengan berwakilan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz.

Pada majlis akad nikah, Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz menerima wang hantaran berjumlah RM30,000.

Pengantin lelaki turut menyerahkan mas kahwin RM80 dan lima dulang hantaran yang kemudian berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.

Bekas penyampai radio Suria FM itu berharap kehidupannya bersama suami pada waktu mendatang akan dipermudahkan.

“Saya sering digambarkan dengan cinta sejati selama ini. Begitu juga dengan fantasi dunia kartun Disney yang membahagiakan antara dua karakter kartun.

“Namun sebelum dua karakter kartun itu bersatu, pelbagai dugaan juga ditempuhi. Di alam realiti juga, saya sendiri melalui pahit getir dalam mencari cinta sejati.

“Kehadiran suami dua tahun lalu bagai magis yang mengubah persepsi bahawa kemarau panas berpanjangan itu berakhir dengan kehadiran pelangi setelah hujan.

Hujung tahun lalu ketika mengerjakan umrah, dia melamar saya di Madinah,” kata Zulin seusai majlis nikah.

Zulin, 32, menyifatkan kesungguhan dan keluhuran hati Farhan menjadi penambat hatinya selain sikap lelaki terbabit yang bertanggungjawab serta pandai mengambil hati keluarga.

Dia juga seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersama dia dan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya.

“Tiada rahsia antara kami. Dia menerima saya seadanya sewaktu zaman saya berisi dan kini berjaya menurunkan berat badan.

Saya percaya dialah yang akan membimbing diri ini ke jalan diredai dan menjadi bapa kepada bakal anak kami kelak. Insya-Allah,” katanya.

Pernah lalui kekecewaan

Mengenai anak dan bulan madu, Zulin berkata dia dan Farhan belum dapat memberi kata putus dan terbuka menerima apa saja rezeki mendatang.

Katanya dia dan Farhan juga beruntung kerana terbabit dalam bidang yang sama iaitu perniagaan Sambal Tujuh.

Justeru tambahnya sambil-sambil menguruskan perniagaan itu mereka boleh 'selitkan' agenda berbulan madu.

"Rancangannya macam nak ke Turki, tapi situasi semasa Covid-19 pun membimbangkan, maka belum ada kata putus,” katanya.

Sementara itu, Farhan atau nama penuhnya Mohd Farhan Norzaini, 35, melihat Zulin sebagai wanita yang mempunyai hati tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarga.

“Alhamdulillah, bersyukur Allah satukan kami selepas dua tahun saling mengenali dengan bermula sebagai kawan, seterusnya bercinta dan kini jadi suami dan isteri.

“Perasaan bercampur baur sebab ini antara hajat dan doa daripada arwah ibu, rakan dan semua yang mengenali kami.

“Kami pernah melalui fasa dikecewakan, turun naik kehidupan serta perhubungan.

"Dia turut bersama saya pada saat mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika kehilangan ibu pada Okt tahun lalu.

“Di situ saya tahu wanita inilah yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya. Dan Zulin ada ciri-ciri lengkap semua itu,” katanya.

Pasangan itu bertunang pada 28 Januari lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS