Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Keruntuhan sesebuah rumah tangga memang menyakitkan, namun bagi Aishah, dia melihat sisi positif di sebalik kisah luka berkenaan.

Penyanyi itu menganggap kehidupannya kini berbeza berbanding dengan apa yang dilalui berbanding ketika dia dilanda pergolakan rumah tangga.

“Saya rasa lebih tenang sekarang,” katanya yang bercakap kepada Malaysiakini.

Memang mengikut logik, tiada pasangan yang inginkan perceraian, namun bagi penyanyi Kemaafan Dendam Yang Terindah itu, apa yang terjadi tidak boleh mematahkan semangatnya.

Walaupun sekali lagi berstatus ibu tunggal, kata Aishah, hal terbaik buat dirinya sekarang adalah terus menjadi kuat untuk melayari kehidupan sesudah perceraian.

“Saya kena berlapang dada walau apa jua yang terjadi kerana kehidupan ni akhirnya mesti diteruskan,” ujarnya.

Terdahulu, pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu berkongsi khabar yang dia sudah diceraikan dengan talak satu melalui aplikasi WhatsApp pada 25 Dis lalu.

Penyanyi yang turut popular melalui lagu Janji Manismu itu turut mendedahkan pada Nov lalu, dia tidak lagi tinggal sebumbung bersama bekas suami selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Dia juga pernah mengakui bukan ingin membuka pekung di dada mengenai isu perceraian yang dihadapi, namun perlu memberi penjelasan agar tidak timbul fitnah di kemudian hari.

Untuk rekod, perkahwinan itu adalah yang keempat buat Aishah, 57.

Dia mempunyai dua cahaya mata iaitu Armand Azhari, 29, hasil perkahwinan pertama dan Azhad Ahlami, 23, daripada perkahwinan kedua.

Aishah pada masa sama berkata, dia bersyukur kerana masih ditemani orang tersayang ketika perlu berdepan ujian berat.

Menurutnya, mereka itulah yang menjadi penguat semangat untuk dia menerima hakikat yang berlaku dan memberi fokus pada karier yang mendatang.

“Hidup lebih bersemangat dengan anak-anak yang memberi sokongan. Pada waktu paling kritikal dan sangat memerlukan, anak-anaklah yang menjaga saya.

“Begitu juga dengan keluarga, rakan-rakan dan peminat, mereka tak putus-putus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS