Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ceramah Oki Setiana Dewi dikecam normalisasi keganasan rumah tangga
Diterbitkan:  Feb 3, 2022 12:51 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Aktres dan pendakwah Indonesia, Oki Setiana Dewi mengundang kritikan di media sosial selepas video ceramahnya yang dimuatnaik melalui TikTok disifatkan menormalisasi keganasan rumah tangga.

Oki dalam ceramahnya berkata, seseorang isteri harus taat kepada suami serta menyembunyikan aib pasangannya apabila dipukul.

“Ada sebuah kisah benar berlaku di Jeddah berlaku terhadap pasangan suami isteri. Suami yang marah pada si isteri lalu memukul wajahnya. Kemudian isteri pun menangis.

“Tiba-tiba pintu loceng rumah berbunyi dan si isteri membuka pintu dalam keadaan matanya sembab. Apabila pintu dibuka, muncul ibu si isteri,” katanya.

Oki kemudian melanjutkan kisahnya dengan memberi contoh bagaimana perlunya seseorang isteri mempelajari sikap untuk taat kepada suami.

“Ibu si isteri bertanya pada anaknya mengapa dia menangis; jawab anaknya; tadi dia berdoa kerana rindu pada ibu dan bapanya. Kini doanya dimakbulkan,” katanya.

Kata Oki, si suami terkejut kerana anggapan bahawa isterinya akan mengadu kekerasan yang dialami kepada ibunya meleset sama sekali. Sebaliknya, perkara itu disembunyikan daripada pengetahuan ibunya.

Oki dalam memberikan hujah seterusnya berkata, sudah lumrah seseorang wanita kerap menjadikan sesuatu isu seperti sebuah drama.

“Kalau perempuan kadang-kadang tak boleh terima kenyataan, mereka suka melebih-lebihkan cerita. Sepatutnya semakin cinta pada suami, si isteri wajar menyimpan aib sendiri. Ini tingkat tertinggi akhlak seorang isteri,” katanya.

Oki menerima pelbagai komen dan ada yang berpendapat sebagai pendakwah dia tidak wajar membenarkan keganasan rumah tangga walau dalam apa jua bentuk sekalipun.

Seorang penulis novel Indonesia, Okki Maddasri misalnya menegaskan bahawa ceramah disampaikan Oki mendatangkan bahaya.

“Saya nyaris tidak pernah memberi komentar mengenai dakwah seseorang kerana itu soal kepercayaan dan audiensnya.

“Pernah satu acara sama Oki Setiana Dewi orangnya baik dan ramah. Untuk itu, semoga Oki faham apa yang disampaikan salah, berbahaya dan boleh menjustifikasi keganasan dalam rumah tangga,” ciapnya di Twitter.

Nadirsyah Hosen, tokoh muda Nahdlatul Ulama (NU) dan pensyarah di Universiti Monash University turut memberi komentar tajam.

“Beritahu pada sang ustazah, kalau suami pukul isteri tu sebenarnya bukan aib yang harus ditutup oleh isteri. Itu keganasan dalam rumah tangga. Harus lapor pada polis,” ciapnya.

Bagaimanapun, seorang pengguna Twitter beranggapan, pengguna media sosial wajar memandang ceramah itu dari sudut positif.

“Ambil positif daripada cerita tersebut. Itu salah satu cara si isteri mencari reda Allah dengan sabar menjaga keharmonian rumah tangga kerana saya yakin isteri solehah memiliki suami solehah.

“Si isteri mungkin percaya, si suami telah melakukan khilaf,” ciapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS