WAWANCARA | Sudah 38 tahun usia filem animasi pendek ikonik, Hikayat Sang Kancil dan Monyet, diterbitkan Hassan Abd Muthalib. Dia seorang animator, pengkritik dan pengarah filem, serta pelukis Malaysia yang mempelopori filem animasi di Malaysia.
Animasi yang sarat dengan kisah teladan itu sangat popular suatu masa dahulu dan ditayangkan di televisyen antara 1985 hingga 1990-an.
Walaupun menghampiri empat dekad usianya, filem itu sedikit pun tidak membuat penonton jemu bahkan masih lagi segar pada ingatan rakyat Malaysia.
Malahan, ramai juga yang mendambakan cerita-cerita sedemikian menghiasi kaca-kaca televisyen mereka, bukan seperti mana filem animasi yang sedia ada hari ini.
Perkara itu dikongsikan sendiri Hassan dalam temu bualnya bersama Malaysiakini di kediamannya di Pandan Indah, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengimbau kembali sejarah pembikinan filem pendek itu, Hassan berkata, dia langsung tidak pernah terfikir Hikayat Sang Kancil dan Monyet itu akan diulang tayang sehingga ke hari ini.
Dikaitkan dengan politik
Katanya filem animasi pertamanya itu yang mengambil masa selama 18 tahun untuk disiapkan.
"Tun Mahathir Mohamad jadi perdana menteri pada 1981. Sekitar 1982 hingga 1984 Datuk Seri Adib Adam yang diangkat sebagai menteri penerangan datang melawat Filem Negara Malaysia.
"Dia tengok filem yang pertama, Hikayat Sang Kancil yang memakan masa 18 tahun untuk siap, satu orang saja yang buat. Buat sikit-sikit," katanya.
Bagaimanapun, Hassan berkata, selepas ia disiapkan filem terbabit tidak dapat ditayangkan. Katanya, ia berpunca daripada sebab-sebab politik.
"Ahli politik punya kerenah. Jadi, (akhirnya) ditayanglah pada 1983," katanya.
Berbalik kepada pembikinan filem animasi pendek itu, kata Hassan dia telah diminta oleh menteri untuk menyiapkan 13 episod ketika dia sendiri awalnya langsung tidak tahu apa-apa mengenainya pembikinan filem animasi.
"Dia tak tanya pun sama ada kami tahu buat ke apa. Kami pun tak pernah buat. Saya pula baru naik pangkat, jadi ketua unit.
"Pada masa itu, takkan saya nak kata saya tak tahu buat animasi. Budak-budak ITM (kini UiTM) semua pun takut dibuatnya, dan saya pun kena kecamlah, kononnya nak angkat diri sendiri walhal saya pun tak tahu," katanya.
Pentingnya bahasa filem
Apa yang lebih membimbangkan Hassan ialah, pembikinan filem animasi itu turut dilaporkan media pada ketika itu. Namun kata Hassan ada insan yang baik hadir untuk membantunya di saat dia benar-benar perlukan pertolongan.
Mengulas pembikinan filem animasi berkenaan, Hassan berkata ada sebab mengapa ia masih diingati dan ditonton ramai berbanding animasi kontemporari dan lebih kompleks.
"Sebab bahasa filem dalam Sang Kancil. Anugerah Merdeka sekitar 2018 yang saya dapat itu juga salah satunya sebab yang inilah, sebab bahasa filem," katanya.
Hassan menerima Anugerah Merdeka 2018 bagi kategori pendidikan dan komuniti tajaan Petronas, ExxonMobil serta Shell kerana pencapaian luar biasanya mempelopori bidang animasi tempatan selama lebih 50 tahun.
"Shot yang pertama dalam filem itu ialah sungai dan pokok-pokok kekuningan kerana matahari baru nak naik. Dalam bahasa visual, kuning maknanya ada unsur spiritual.
"Maksudnya kaitan ia dengan orang adalah akrab, ada elemen spiritual atau sekurang-kurangnya dia adalah orang yang ada moral.
"Maknanya, cerita ini adalah sesuatu yang spiritual atau pun moral, ada mesej," katanya.
Tambah Hassan, untuk menghasilkan sebuah filem yang baik, langkah pertama yang perlu diambil ialah meraikannya sebagai suatu karya, kemudian membawa sesuatu isu, diikuti menampakkan budaya sesuatu bangsa atau negara.
"Shot kedua baru ada rama-rama, nampak suasana cantik tetapi selepas itu kita tahulah akan ada kucar-kacir. Jadi, warna hijau, kuning ini semua warna-warna positif.
"Kemudian ada kancil berjalan dan berdiri dalam hutan dan ada bunga-bunga di depan, ada pula cahaya daripada atas.
"Tengoklah apa filem pun, kalau seseorang itu duduk di tepi tingkap dan cahaya jatuh dekat dia atau pun ada cahaya dari mana-mana datang, maknanya dia spiritual atau dia moral," katanya.
Berada di awang-awangan
Tambah Hassan, kadang-kadang ia seperti takdir.
Hal itu, katanya, ada dipaparkan dalam filem The Lion King apabila Rafiki mengangkat Simba dan pada masa itu awan terbuka serta ada cahaya terpancar.
Babak berkenaan, katanya, menunjukkan bagaimana anak singa itu mendapat pengiktirafan dan restu untuk kemudiannya menjadi raja singa.
"Inilah bahasa visual, jangan main letak saja. Setiap shot harus bermakna serta cantik," katanya.
Menurut Hassan, kontras yang diwujudkan pada babak monyet melompat-lompat dari pokok ke pokok tanpa menjejak tanah juga menghantar mesej yang tersirat.
Berdasarkan bahasa filem, katanya, ia menunjukkan bagaimana ada sesuatu yang tidak betul pada haiwan tersebut dan ia berada di awang-awangan. Kemudian warna yang melatari babak itu ialah coklat dan hitam.
Katanya, ia adalah warna yang tidak ada harmoni dan mahu menunjuk-nunjuk.
"Selepas itu dia bergayut di pokok sehingga burung tengah tidur pun terjaga. Maknanya dia menyusahkan orang.
"Apabila monyet dan kancil bekerja di taman, shot datang dari belakang monyet. Ini dah negatif dan apabila monyet tak dengar cakap dengan memakan cili dia lompat-lompat dan pokok bersilang. Apa maknanya?
"Maknanya, jelas monyet melakukan kesalahan tanpa perlu kancil cakap dan shot terakhir kancil dengan kura-kura berjalan balik dengan warna kuning, hijau dan sebagainya," katanya.
Kata Hassan bahasa filem sedemikianlah yang membuatkan karyanya terus diulang tayang dan diminati ramai, sama seperti cerita yang dihasilkan Allahyarham P Ramlee.
"Bahasa filem ini tersirat dan ada kesan kepada subconscious mind (minda bawah sedar).
"Jadi, itulah kesan yang ada dalam Hikayat Sang Kancil dan Monyet," katanya.
Bercerita lanjut, Hassan yang dikenali juga dengan gelaran Bapa Animasi Malaysia berkata ada karyanya yang turut dikaitkan dengan kes rasuah pemimpin Umno ketika ia siap untuk ditayangkan.
Ketika itu katanya di negara ini sedang panas dengan isu dakwaan rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor ketika itu, Allahyarham Harun Idris.
"Dalam Hikayat Sang Kancil ada satu dialog semasa buaya mengangkap kaki kerbau dan kancil datang.
"Kata Sang Kancil, apa yang dilakukan buaya itu salah. Lalu buaya itu berkata: inilah dunia. Sang Kancil pun kata: mari kita tanya tikar buruk yang hanyut dibawa sungai.
"Tikar buruk pun berhenti dan berkata: semasa berguna kami dipakai, tapi bila dah tak berguna, dicampak," katanya.
Menurut Hassan ketika itu ada menteri dari Umno yang menganggap animasi tersebut sebagai tidak cukup berkualiti, justeru tidak wajar ditayangkan.
Namun, katanya, keadaan berbeza selepas Mohd Adib menjadi menteri penerangan dan dia bertegas mahu karya tersebut disiarkan untuk tatapan umum.