Selepas dua tahun berkenalan serta menjalinkan hubungan cinta termasuk sebagai rakan kongsi perniagaan, Zulin Aziz dan Farhan Norzaini akhirnya mengikat tali pertunangan kira kira jam 9 malam tadi.
Majlis itu diadakan secara tertutup dan sederhana selain hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak di kediaman abang Zulin di Segambut Dalam.
Menurut Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, dia dan tunangnya sepakat memilih untuk melangsungkan pertunangan malam tadi selepas pulang daripada mengerjakan ibadah umrah hujung tahun lalu.
"Alhamdulilah, Farhan melamar saya ketika berada di Madinah. Sebenarnya sudah lama kami merancang, akhirnya Allah memperkenankan doa saya ketika berada di Tanah Suci.
"Majlis pada malam ini juga diadakan serba ringkas. Malah atas permintaan keluarga kami hanya menjemput keluarga terdekat sahaja demi menjaga prosedur operasi standard (SOP)," kata Zulin usai majlis selesai.
Pada majlis berkenaan, Zulin, 32, turut menerima dua bentuk cincin (merisik dan bertunang).
Terdahulu, kisah keintiman pasangan itu mula dihidu sejak tahun lalu apabila Zulin berkongsi gambar bersama Farhan di Instagram lantas mencetuskan spekulasi.
Bagaimanapun ketika itu, Zulin diibaratkan hanya berkongsi 'teaser' mengenai hubungan mereka dan belum selesa bercerita lebih mendalam.
Namun, kunjungan kedua-duanya ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah terus menguatkan lagi spekulasi bahawa hubungan mereka serius.
Ditanya mengapa Farhan berjaya memenangi hatinya sehingga dia terbuka hati untuk memilih lelaki itu sebagai teman hidup, bekas penyampai radio Suria FM itu berkata dia percaya Farhan mampu membimbingnya ke jalan yang diredhai Allah SWT.
"Dia seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga seorang pendengar yang setia.
"Saya selesa bersama dengannya dan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya," katanya.
Sementara itu, Farhan, 35, menyifatkan Zulin sebagai seorang yang mempunyai hati yang tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya.
"Dia berada bersama saya di saat saya mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika saya kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu.
"Di situ saya tahu bahawa dialah wanita yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya.
"Dan Zulin ada ciri-ciri itu," kongsinya.
Pasangan itu menetapkan tempoh kurang dari sebulan untuk ikatan pertunangan dan merancang melangsungkan pernikahan pada 20 Februari ini.
Mereka sepakat memilih 20 Februari 2022 kerana tarikhnya cantik selain tidak mahu bertunang lama-lama dan mempercepatkan benda baik.