Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sudah lumrah manusia sering melakukan kesilapan dan perselisihan, namun perkara itu jangan disimpan dalam hati kata vokalis Def Gab C, Asheed.

Dia berkata begitu sebagai mendedahkan ‘resipi’ anggota kumpulan berkenaan mampu kekal menjalin hubungan baik sejak 25 tahun lalu.

Cuba memahami antara satu sama lain pula, jelasnya, ibarat perkara wajib yang harus ada dalam diri setiap anggota kumpulan agar sebarang masalah yang timbul tidak berlarutan.

“Rahsia kami ialah masing-masing kena faham satu sama lain. Selain itu, bekerja dengan ahli kumpulan kenalah ikut peredaran zaman," katanya.

Misalnya tambah Asheed sesuatu perangai semasa muda tidak sepatutnya dikekalkan ketika sudah berkahwin, atau semasa semakin meningkat usia.

“Isu terasa hati memang ada, tipulah kalau tak pernah ada. Tapi tak boleh pendam lama-lama. Dalam masa tiga hari kita kena selesaikan juga konflik yang muncul,” katanya.

Asheed yang nama sebenar Mohd Ashid Ahmad berkata, walaupun beberapa kali pernah berdepan perpecahan, namun nama Def Gab C masih utuh.

“Alhamdulillah, hubungan saya dengan anggota lain sangat baik. Saya bersyukur setakat ni kami tiada Real Def Gab C atau Def Gab C ketiga.

“Kami hanya ada satu Def Gab C dan biarlah ia kekal begitu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Amirul Grocer di seksyen Shah Alam baru-baru ini.

Peminat mahu bergabung

Tambah Asheed dan Def Gab C yang popular menerusi lagu Ibu Kota Cinta itu, tiada istilah cemburu wujud sekiranya salah seorang daripada mereka menerima lebih banyak tawaran secara solo.

“Perasaan cemburu sepatutnya tak ada dalam sesebuah kumpulan. Jadi lebih baik anggap anggota lain seperti adik beradik,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Asheed berkata, Def Gab C tampil dengan single solo berjudul Baling di bawah terbitan Rockstage Entertainment.

Pada masa sama, menurut Asheed, dia juga akan kembali bergabung dengan rakan-rakannya bagi menjayakan konsert Def Gab C pada Mac nanti.

“Ini adalah konsert 25 tahun Def Gab C yang akan menampilkan anggota asal iaitu saya, Eddie (bass), Jemboo (gitar) dan Atong (drum).

“Kami berhasrat untuk kembalikan zaman kegemilangan Def Gab C. 

"Peminat juga ada menyuarakan impian untuk kami bergabung semula bersama anggota lain,” katanya.

Bagaimanapun, lokasi dan tarikh konsert itu belum ditentukan dan akan diumumkan pada masa terdekat.

Mengulas single terbarunya itu, Asheed berkata, dia yakin lagu ciptaan Talib Rockstage dan Wan itu boleh ‘pergi jauh.’

“Konsep saya ketengahkan seperti penyanyi Santana. Saya rasa comeback ni boleh diterima ramai.

“Bagi saya, seseorang artis lama tak semesti perlu bergabung dengan artis baru untuk naik semula. Memang ada rakaman guna formula macam tu.

“Ramai yang nak keluarkan single, namun mereka takut sendirian. Tapi saya masih tetap cara lama walaupun zaman dan muzik juga dah berubah,” katanya.

Sementara itu, Asheed berkata, dia kini memasarkan produk terbaru keluarannya iaitu Asheed Blackpepper di Sudut Produk Selebriti & Amirul Grocer di Shah Alam.

Jelasnya, produk itu dikeluarkan selepas usahanya yang pertama dikeluarkan sebelum perintah kawalan pergerakan pertama gagal.

“Saya usahakan insya-Allah. Bagi saya nak menjayakan perniagaan sama macam buat album, cuma caranya berbeza dan lebih mencabar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS