Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Penempatan seniman dan karyawan-karyawan yang berserakan II

Di Malaysia, satu perkara yang belum terhasil adalah kemajuan memperbesarkan keluarga seniman.

Dalam bidang penulisan, karya ketamadunan, seniman pembikin arca, lukisan, perfileman, teater, tukang cat prop, juruadun muzik, penggubah lagu, penari, pemuzikdan penyanyi - termasuk kewartawanan - tidak tinggal bawah satu bumbung penyatuan yang utuh.

Sebahagian mereka hanya mengenali sebahagiannya sahaja. 

Malahan jika dilihat dan ditelusuri di segenap penjuru negara, dari Perlis sampai ke Sabah dan Sarawak, banyak sekali seniman yang berpotensi untuk diketengahkan. 

Namun perkara ini tidak sedikit pun menjadi puncak pemikiran pemerintah. 

Penulis tidak lalai apabila menggunakan kata pemerintah kerana merekalah yang sepatutnya bergerak untuk menumbuhlebarkan kebajikan dan kelangsungan penggiat seni budaya di tanah air tercinta ini.

Berapa banyak pun jabatan kesenian kebudayaan setiap negeri, itu hanyalah jabatan dan pekerja jabatan sahaja. 

Mereka tidak mampu mengolah kesinambungan penyatuan keseluruhan pembudayawan karyawan meskipun negara mempunyai 14 orang sasterawan negara.

Mereka ini boleh mencipta idea bagi merangsang jalinan seniman dan budayawan hingga sampai ke peringkat bawahan yang dipeluk ‘sistem sembilan pagi lima petang itu’.

Tiada diskriminasi ijazah atau sarjana 

Ini terjadi kerana seniman dan karyawan terpecah. Mereka merasa apabila mereka sudah menulis puisi, membuat filem, lagu teater dan menganjurkan acara kesenian sudah memadai. 

Persatuan Penulis Pulau Pinang, Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Persatuan Penulis Kelantan, Persatuan Penulis Pahang (sekadar beberapa persatuan, ada berpuluh lagi persatuan seni budaya), tidak satu pun mengeluarkan pandangan atau pendirian untuk menyatukan penggiat sastera dan seni budaya bawah satu bumbung besar.

Suka penulis untuk mengajak seniman lama dan baru tergabung agar seniman dan sasterawan lama dapat menurunkan ilmu serta perundangan hak-hak menyangkut kemantapan karya dan perundangan seni yang akan muncul di kemudian hari untuk generasi mendatang. 

Singapura ada Studio Jalan Ampas, di Amerika ada Hollywood. Indonesia ada Taman Ismail Marzuki yang dibina pada 1968 di Jakarta. Ia disambut dengan kebanggaan oleh seluruh budayawan Indonesia serta seluruh generasi senimanya. 

Taman Ismail Marzuki dibina (bawah) di tapak seluas sembilan hektar. Ia menempatkan panggung Graha Bakti Budaya. Gedung ini boleh digunakan untuk konsert, teater, tarian dan perfileman. Ia dilengkapi tata cahaya, sistem bunyi akustik dan pendingin ruangan. 

Taman Ismail Marzuki mempunyai Galeri Cipta I dan Galeri Cipta II, teater kecil, teater halaman dan halaman parkir luas untuk pengunjung dan penggiat kesenian membuat persembahan secara terbuka bawah bulan mengambang, di terik matahari serta dapat pula menghirup udara nyaman meskipun bandar rayanya macet. 

Penggiat seninya datang dan pergi tanpa ada garis halangan untuk meritualkan kepelbagaian kesenian yang mereka miliki. Ia menjadi tempat persiaran buat pengunjung dan menjana pula pendapatan kepada agen pelancongan. 

Semestinya negara kita juga boleh membina sebuah penempatan seniman seperti itu meskipun tidak seratus-peratus sama.

Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur boleh mencipta dusun dalam bandar seluas 29 hektar seperti di Kepong untuk ditanam pokok buah-buahan, dilengkapi dengan kemudahan rekreasi.

Apakah salah jika negara menciptakan penempatan seniman berskala 10 atau 15 hektar untuk memberi impak jitu kepada seniman mempamerkan hasil seni. 

Pasti ia akan meningkatkan mutu kelangsungan ekonomi dan karya seni. Tidak ada diskriminasi sarjana, tinggi rendah kedudukan kewangan serta pandangan sinis dalam membangunkan karya seni. 

Kerana yang cacat, yang longgar penulisan dan penggubahannya, yang kurang cahaya terang lukisannya, yang gelap lorongan pencak arcanya dapat diperbaiki kerana ditunjuk ajar oleh guru atau sasterawan yang boleh dianggap bapa dan ibu kepada seniman. 

Di sini seniman, sasterawan, karyawan, wartawan tergabung untuk menggarap hasil lalu memberikan keputusan terbaik pemilihan karya agung tanah air dimasa akan datang.

Yang lama dijaga, yang baru dibangunkan

Seterusnya kebahagiaan mencipta dengan hasil olahan seni agung itu akan didahului, dirasai, dan dimiliki oleh budayawan negara serta penduduk negara ini amnya. 

Hal ini kerana ia terhasil daripada penggabungan satu bumbung penempatan seniman. Ini akan merancakkan industri pelancongan negara kita juga. 

Bukan tujuan penulis menidakkan acara tahunan rainforest di bumi Sarawak pada setiap Jun atau Julai tetapi ia terlalu jauh daripada ibu negara Kuala Lumpur. 

Dan acara itu ada estetika seninya juga malah perlu diteruskan kerana yang lama kita jagai dan yang baru kita bangunkan.

Semoga berterusan kesinambungan yang baru dan yang lama demi kemajuan industri seni tanah air yang kita cintai ini. 

Soal bajet serta ruang tidak perlu dipertikaikan kerana negara mempunyai sumber alam dan ruang yang luas untuk dilaburkan dalam peluang ini. 

Tetapi soalnya bilakah ia akan bermula? Apakah kita harus menunggu sehingga para sasterawan sudah kembali ke alam baka? 

Pada pengamatan penulis, lakukan sekarang, lakukan hari ini, adalah cara terbaik untuk merealisasikan usaha ini. 


PohonHijau ialah seorang penulis-pengubah lagu, pemuzik, pelukis dan penyanyi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

BAHAGIAN I: 
ULASAN | Penempatan seniman dan karyawan-karyawan yang berserakan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS