Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Ramai Melayu kian faham saya lepas isu filem Babi'

WAWANCARA | Walaupun sering terpalit isu-isu panas, pengarah dan penyanyi rap, Namewee, mengakui dia sebenarnya bukan orang yang gemar mengejar kontroversi.

Kontroversi yang berlaku sebelum ini, katanya, berlaku secara tidak dirancang terutama selepas dia mengupas isu-isu semasa yang berlegar dalam negara melalui karya yang diketengahkannya.

“Saya tak pernah sukakan kontroversi, saya cuma pencipta kandungan dan mengetengahkan isu yang sememangnya sedang berlaku.

“Saya juga bukanlah pencetus sesuatu yang baru tetapi masih sering dilabel sebagai orang yang gemar menyentuh sensitiviti dengan alasan isu perkauman.

“Sebenarnya, ramai pencipta kandungan kreatif lebih gemar menyekat diri daripada suarakan kebebasan mereka dalam berkarya kerana tertakluk kepada sistem yang ada," katanya.

Namewee berkata demikian ketika ditemui pada sesi wawancara eksklusif dengan Malaysiakini di Petaling Jaya kelmarin.

Di luar negara - seperti Jepun atau AS - menurut Namewee, karyawan di negara terbabit sudah mengutarakan pelbagai isu semasa secara kreatif dan membawanya ke ruang komersial.

Disoal siasat pihak berkuasa

Jelas pemilik nama sebenar Wee Meng Chee itu, kelantangannya semasa berkarya cumalah bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada penonton.

Sebagai pengarah dan penyanyi, katanya, 'bersuara' melalui filem dan muzik bolehlah dianggap sebagai senjata buat golongan seperti mereka.

“Biasanya kalau saya nak mengkritik, medium yang digunakan ialah melalui nyanyian rap manakala nak shout out, saya akan gunakan muzik rock," katanya.

Nama anak kelahiran Johor itu semakin mengundang perhatian apabila pada tahun lalu, poster filem arahannya, Babi, disebut-sebut sesetengah pihak sebagai menyentuh sensitiviti kaum di negara ini.

Beberapa laporan polis juga dibuat termasuk Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan dan Persatuan Seniman Malaysia bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan. 

Susulan itu, Namewee, 38, dan penerbit filem tersebut, Joko Toh, disoal siasat Polis Diraja Malaysia sebaik tiba dari Taiwan berikutan waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka.

Untuk rekod, Namewee berkata, dia hanya akan pergi ke negara itu sekiranya perlu melaksanakan projek baru di sana.

Berbicara soal pengikutnya dalam kalangan Melayu, Namewee berkata, peminat hasil kerjanya daripada kumpulan masyarakat terbabit kini semakin bertambah kerana kontroversi filem Babi.

Namewee (kanan) bersama Joko Toh

Tambah Namewee, perjalanannya selama berbelas tahun dalam industri membuatkan perubahan demi perubahan berlaku dari segi peningkatan peminat Melayu terutama selepas dia menghasilkan pelbagai filem, muzik dan lagu patriotik.

“Ramai (peminat Melayu). Tahun lalu, ramai Melayu sokong dan pertahankan saya kerana filem Babi.

"Inilah perubahan ketara yang saya nampak. Semakin ramai dah mula faham cara saya bekerja.

“Saya berkecimpung dalam dunia seni dah lama, semasa kecoh pasal Negarakuku pada 12 tahun lalu, memang pada awalnya ramai menghentam saya kerana hebahan yang tidak tepat,” katanya.

Hanya mahu ruang berkarya

Sementara itu, diminta mengulas mengenai jawapannya jika ada pihak di Taiwan bertanyakan mengenai isu kontroversi yang terpalit ke atas dirinya, Namewee hanya menjawab ringkas.

Katanya, dia akan menjawab bahawa dirinya menginginkan kebebasan dalam berkarya di negara ini.

“Sudah tentu, orang Taiwan boleh baca isu-isu berkaitan saya melalui media.

"Apabila ulas hal itu, apa saya boleh jawab ialah, sebagai pengarah dan pemuzik, yang saya mahukan adalah diberikan kebebasan dalam berkarya.

"Saya bukan ahli politik. Saya artis dan perlukan kebebasan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS