Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hadiah RM20,000: Bayar hutang, tebus barang kemas - Adibah

Tanpa segan silu, Adibah Noor mengakui wang berjumlah RM20,000 diperoleh selepas menduduki tangga keempat Gegar Vaganza 8 (GV8) antaranya akan digunakan untuk melunaskan semua hutang hutangnya.

Seperti orang lain yang terjejas teruk ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Adibah juga pernah bergolok-bergadai demi meneruskan kelangsungan hidupnya.

“Rasanya semua orang sudah tahu kehidupan saya susah sewaktu PKP. Saya tak malu nak akui hal itu.

“Duit yang dimenangi tu akan digunakan untuk tebus balik barang kemas yang digadai dan bayar hutang,” luahnya.

Selain itu, kata Adibah, baki wang tersebut akan digunakan sebagai ‘hadiah’ untuk diri sendiri.

“Saya akan pergi bercuti dan selebihnya dijadikan untuk simpanan,” jelasnya.

Adibah berkata demikian ketika ditemui pada program GV8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam semalam.

Pada konsert akhir GV8, Adibah mempersembahkan lagu Seroja nyanyian asal S Effendy dan berduet pasangannya, Zainal Abidin dengan lagu Kau Di Hatiku.

Bagi pusingan Battle, Adibah berentap dengan Azan Scan melalui lagu Kami Rappers (4U2C).

Aliff Aziz dinobatkan sebagai Juara GV8, manakala Nikki Palikat di tempat kedua dan Suki Low di tempat ketiga. 

Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohd Omar, 52, pada masa sama berkata GV8 mengubah dirinya untuk menjadi lebih baik.

Menurutnya, dia sebelum ini seorang yang terlalu cepat menilai selain gemar memberi teguran secara terbuka.

“Saya tahu kata-kata saya yang ditulis di media sosial sangat berbisa. Namun GV8 menyedarkan saya untuk tak lagi bersikap macam tu.

“Misalnya di sini (sepanjang latihan) saya kawal mulut sebab faham masing-masing ada tugas sendiri.

“Saya juga faham jika ada netizen yang hentam persembahan tak bagus sebab itu penilaian mereka dan kita tak boleh nak salahkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS