Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bersyukur menjuarai GV, Aliff Aziz anggap peluang kedua

Pernah melalui beberapa episod hitam, Aliff Aziz percaya dia diberikan peluang kedua membuka lembaran baru dalam menghidupkan kerjaya seninya selepas menjuarai Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).

Penyanyi itu yang sudah lama menyepi dari radar industri percaya, setiap aturan untuk kembali merancakkan kerjayanya dipermudahkan Tuhan.

“Saya yakin ni semua susunan Allah SWT. Platform GV8 banyak membantu saya memecahkan tradisi dan halangan untuk mendapat tempat di hati peminat baru.

“Sebelum ni, saya hanya dikenali melalui genre sama seperti lagu Sayang, Sayang dan Jangan Ganggu Pacarku.

“Tapi lepas ni, saya mahu tampilkan sesuatu yang segar dan baru dalam muzik yang akan dipersembahkan,” katanya.

Selain bidang nyanyian, Aliff juga menyatakan hasratnya untuk aktif dalam bidang lakonan semula.

Dia berkata demikian selepas pentas GV8 melabuhkan tirainya di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya malam tadi.

Terdahulu, pemilik nama penuh Muhammad Aliff Aziz, 30, itu berjaya membawa pulang hadiah kemenangan RM100,000 melalui lagu Dealova - nyanyian asal Once - bersama pasangan duetnya, Hafiz Suip manakala lagu solo, Sampai Syurga (Faizal Tahir).

Aliff kemudian digandingkan dengan Aweera untuk berentap menyanyikan lagu Bangun dalam segmen battle.

Suami Bella Astillah itu berjaya memungut 86.0 peratus markah keseluruhan daripada juri Ramli MS, Syafinaz, Hetty Koes Endang dan Joe Flizzow.

Naib Juara dimenangi Nikki Palikat dan tempat ketiga menjadi milik Suki Low, masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM30,000.

Berada di tangga keempat dan kelima, Adibah Noor dan Azan Scan dengan hadiah kemenangan mereka, RM20,000 dan RM15,000 manakala tempat keenam jatuh pada Aweera yang membawa pulang RM10,000.

Mengulas dakwaan menjadi peserta kegemaran Astro apabila diberikan lagu mengikut keselesaannya, Aliff, menjawab dengan tenang; “Dah jadi tanggungjawab peserta untuk menunjukkan semua persembahan nampak mudah.”

Menurutnya, dia menghormati kecaman netizen selain menegaskan semua peserta sebenarnya perlu berdepan kesukaran masing-masing.

“Memang nampak mudah pada waktu persembahan, tapi ramai yang tak tahu, persediaan kami bukan begitu. Tapi setiap orang boleh beri pendapat dan saya hormati keputusan mereka,” jelasnya.

Untuk rekod, ketika persembahan berlangsung, Ramli mendedahkan, setiap peserta sebenarnya diberikan kelebihan untuk memilih lagu yang ingin mereka persembahkan.

Sementara itu, Aliff berkata, dia bersyukur kerana Bella menjadi tulang belakangnya serta sanggup hadir setiap minggu memberikan sokongan.

“Saya memang kurangkan penggunaan media sosial kerana tak mahu berasa tertekan kerana mahu fokus pada pertandingan. Tapi terima kasih kepada isteri, kerana pertahankan saya.

“Dia juga menerima kecaman, tapi saya selalu ingatkan agar dia anggap apa yang berlaku hanya sementara dan pasti akhirnya akan baik-baik saja,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS